KUALA LUMPUR: Suara menggesa supaya Labuan dikembalikan kepada Sabah terus kedengaran, kali ini daripada Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Bekas presiden UPKO itu mahu Kerajaan Persekutuan berbuat demikian kerana Putrajaya gagal membangunkan pulau bebas cukai itu seperti yang dijanjikan.
Tangau berkata kadar pengangguran di Labuan masih tinggi, iaitu lebih 7 peratus, walaupun berada di bawah bidang kuasa persekutuan sejak sekian lama, dengan pelbagai undang-undang percukaian diperkenalkan dan diluluskan.
Menurut beliau, walaupun keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita Labuan adalah yang kedua tertinggi di Malaysia, selepas Kuala Lumpur, pada RM85,560, yang dipercayai disebabkan oleh sektor minyak dan gas tempatan, namun kebanyakan aktiviti itu adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Sabah di bawah Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB), bukan inisiatif persekutuan.
“Jika ASB meninggalkan Labuan, kita akan kehilangan 5,000 peluang pekerjaan,” katanya.
“Rakyat Labuan mempersoalkan sama ada berbaloi untuk Labuan kekal sebagai wilayah persekutuan… bagaimana ia akan memberi manfaat kepada penduduk Labuan atau Sabah?” soalnya di Dewan Rakyat baru-baru in sebagaimana dilaporkan Harian Ekpress.
Tangau berkata beberapa syarikat yang berdaftar melalui Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) akhirnya memindahkan operasi mereka ke Kuala Lumpur.
“Kenapa kita membenarkan syarikat ini melakukan ini? Jika mereka boleh menarik pelabur atau melakukan perniagaan yang baik, mengapa tidak di Labuan?” soalnya.
Tangau turut mempersoalkan sejauh mana Kerajaan Persekutuan mengambil langkah untuk memastikan pembangunan dan kemajuan Labuan seperti yang dibayangkan.
“Jika tidak seperti yang dirancang, pulangkan Labuan kepada Sabah. Mungkin adat dan budaya boleh digunakan untuk mempromosikan pulau itu. Walaupun Labuan memiliki mahkamah negeri, adakah pentadbir di wilayah persekutuan benar-benar memahami apa yang berlaku di dalamnya?” katanya.
Sebelum ini, bekas Ketua Menteri Datuk Seri Yong Teck Lee dipetik sebagai berkata bahawa pemulangan Labuan kepada Sabah tidak dapat dielakkan.
Ini berikutan kegagalan Kerajaan Persekutuan yang berulang kali menepati janjinya kepada Sabah dan Labuan semasa proses persekutuan Labuan pada 1984, katanya.