Kembali Status Sabah, Sarawak Langkah Hormati MA63 – Pakar

shamrahayu.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Usaha mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung merupakan langkah sebagai menghormati Perjanjian Malaysia 1963.

Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Shamrahayu Ab Aziz berkata terdapat pelbagai peruntukan yang memberi keistimewaan kepada Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, ia mungkin menjadi antara sebab atau alasan kukuh bagi menyatakan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah atau negeri, tidak sama seperti negeri lain.

“Contohnya, Senarai Negeri untuk Sabah dan Sarawak, ada senarai-senarai tambahan yang diberikan.

“Begitu juga Senarai Bersama yang lebih kepada keistimewaan negeri Sabah dan Sarawak serta dalam Perkara 9 dalam kebebasan bergerak seperti keistimewaan diberikan dalam Akta Imigresen.

“Perkara yang memberi justifikasi kepada Sabah dan Sarawak dianggap sebagai satu wilayah itu, antara lain ialah kelebihan-kelebihan atau perbezaan yang ada, yang diberikan Perlembagaan Persekutuan kepada negeri Sabah dan Sarawak,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.

Berkait penggunaan istilah negeri atau wilayah, Shamrahayu menjelaskan bahawa istilah yang digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan adalah ‘The Borneo States’.

Bagaimanapun, hak-hak negeri Sabah dan Sarawak adalah berbeza dalam sesetengah keadaan atau perkara dari negeri-negeri di Semenanjung.

“Di sini mungkin istilah itu, sama ada sebuah wilayah atau negeri? Kalau kita rujuk penggunaan istilah yang digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan semasa 1963 itu, istilah ‘The Borneo States’ digunakan.

“Ini yang menjadi perbahasan, tetapi pada saya yang penting ialah kandungan Perjanjian Malaysia 1963 itu dihormati dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga dalam undang-undang lain yang berkaitan seperti Akta Imigresen,” katanya.

Pada Selasa, Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) telah bersetuju dengan cadangan pindaan membabitkan Perkara 1(2) serta Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan yang akan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Maximus Ongkili berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MKMA63 hampir tiga jam yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin. – Awani

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top