Kembaikan Autonomi Pendidikan Kepada Sabah – PBS Api-Api

Yee-Tsai-Yiew.jpeg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) menggesa kerajaan Persekutuan mengembalikan autonomi pendidikan kepada negeri ini sekiranya gagal mengendalikan dengan berkesan keperluan pendidikan yang pelbagai dan kompleks seluruh negara

Ketua Penerangan PBS Api-Api Yee Tsai Yiew membuat kenyataan itu pada Rabu sebagai mengulas keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang memihak kepada tiga bekas SMK Taun Gusi Kota Belud terhadap guru Bahasa Inggeris yang tidak hadir mengajar.

Yee berkata keputusan itu adalah langkah penting ke arah memastikan akauntabiliti dalam sistem pendidikan dan melindungi hak pelajar sekolah.

Kementerian itu, tambahnya, mesti melaksanakan intervensi yang lebih serius dan sistematik dalam usaha memastikan struktur pendidikan yang lebih baik di negara ini, khususnya Sabah.

Sambil menggesa kementerian mengambil tindakan segera berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi, beliau berkata adalah penting untuk berusaha ke arah mewujudkan persekitaran di mana semua pelajar mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti dan dilindungi daripada sebarang kecuaian atau ketiadaan guru.

“Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang memihak kepada bekas pelajar itu mencerminkan kepentingan menyediakan pendidikan berkualiti dan menjunjung tanggungjawab guru,” katanya pada Rabu.

Keputusan itu, kata Yee, juga memberikan mesej yang kuat bahawa guru mesti hadir dan berdedikasi terhadap profesion mereka kerana ketiadaan mereka boleh memberi kesan mendalam kepada kemajuan akademik dan kesejahteraan keseluruhan pelajar.

Beliau juga berkata kementerian perlu bertanggungjawab sepenuhnya dan memastikan isu yang sama ditangani segera dengan menggubal dasar yang menggalakkan pelajar mengemukakan sebarang rungutan kepada kementerian.

“Kementerian memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan negara kita melalui pembangunan dan pelaksanaan dasar pendidikan yang berkesan,” katanya.

Bagaimanapun, sekiranya kementerian gagal mengendalikan dengan berkesan keperluan pendidikan yang pelbagai dan kompleks seluruh negara, khususnya Sabah dan Sarawak, maka ia harus mempertimbangkan untuk mengembalikan autonomi pendidikan kepada wilayah-wilayah itu, kata Yee.

“Saya percaya kerajaan Sabah dan Sarawak akan dapat memupuk sistem pendidikan yang lebih setempat dan responsif.

“Pengagihan kuasa ini akan membolehkan jabatan pendidikan negeri untuk bekerjasama rapat dengan sekolah, guru, ibu bapa dan pihak berkepentingan lain bagi menangani cabaran yang dihadapi di peringkat akar umbi, memastikan rangka kerja pendidikan yang lebih cekap dan berkesan,” jelasnya.

 

Sumber: The Star

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top