KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan (gambar) berkata, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui jalan tikus, antara punca kes Covid-19 kembali meningkat dan menjejaskan ekonomi rakyat, sekaligus membawa banyak masalah.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN), Majlis Keselamatan Negera (MKN) Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk terus memperkasakan jalinan kerjasama khasnya dalam menangani pandemik Covid-19.
“Covid-19 hampir berjaya dikawal namun kemasukan PATI melalui jalan tikus, pandemik ini kembali mencanak naik dan menjejaskan ekonomi rakyat, sekaligus membawa banyak masalah.
“PATI mengancam keselamatan dan kesihatan rakyat kita kerana membawa Covid-19 kembali ke negeri kita, dan kerana ini benteng pertahanan di sempadan perlu kita perketatkan dan digandakan demi menjamin kesihatan dan keselamatan rakyat dan negeri serta negara kita yang tercinta,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam sesi perbahasan Belanjawan Negeri Sabah 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, pada Isnin.
Menurut Fairuz, kawalan di pintu masuk negara oleh semua kakitangan keselamatan perlu digandakan termasuk di Pusat Tahanan Sementara kerana PATI yang masuk ke negara kita, ditempatkan di pusat itu dan berpotensi untuk menyebarkan virus Covid-19 kepada kakitangan yang berkhidmat di pusat tahanan.
“Tempiasnya terkena pada pegawai dan kakitangan yang berkhidmat serta berurusan dengan PATI yang tidak kita undang,” tegasnya.
Fairuz turut menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan keras kepada sesiapa yang mengabaikan prosedur standard operasi (SOP) bagi membendung penularan Covid-19.
“Ambil tindakan keras terhadap pelaku yang cuba mengambil ringan usaha kerajaan dalam menangani wabak ini,” ujar beliau lagi. – Nabalu News