PAPAR: Kerajaan negeri telah bersetuju untuk melakukan pembenihan awan bagi mengatasi musim kemarau yang dihadapi di Sabah ketika ini.
Sinar Harian dalam laporannya semalam memetik Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya sebagai berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri pada Rabu.
“Dalam mesyuarat Kabinet negeri bersama Ketua Menteri juga bersetuju melakukan pembenihan awan bagi mencetuskan hujan di kawasan hulu berbukit yang menjadi tempat tadahan air yang membekalkan air kepada sungai dan seterusnya boleh memberi bekalan air kepada loji di negeri ini.
“Pembenihan awan akan dilakukan dalam masa terdekat.
“Pihak jabatan daerah bersama Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri dan juga jawatankuasanya bersama Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan melihat kebolehlaksanaan pembenihan awan tersebut.
“Jadi memang kita minta ia dilaksanakan dalam masa terdekat memandangkan kemarau yang berlaku ini adalah berpanjangan dan kita menjangkakan dalam dua bulan lagi keadaan ini berterusan,” kata Shahelmey kepada pemberita selepas melawat Loji Rawatan Air (LRA) Limbahau di sini pada Khamis.