Kemalangan Terburuk Dalam Sejarah Perkhidmatan LRT Negara

LRT.jpg
Kongsi Bersama

Perlanggaran antara dua tren LRT yang berlaku malam tadi adalah kemalangan terburuk dalam sejarah perkhidmatan pengangkutan awam itu sejak ia mula beroperasi pada 1996.

Kemalangan terbabit menyebabkan 213 orang cedera, manakala 47 daripadanya parah dan gambar serta video mangsa kejadian itu juga pantas disebarkan di media sosial menyebabkan ramai terkejut dengan insiden berkenaan.

Tetapi ini bukan kali pertama kejadian kemalangan membabitkan tren LRT di mana satu kemalangan hampir sama pernah berlaku 13 tahun yang lalu.

Sebelum ini juga, terdapat beberapa insiden lain membabitkan tren LRT dan FMT mengimbau kembali beberapa kejadian yang menjadi tajuk utama di dada akhbar.

16 Ogos 2002: Wartawan David Chelliah tidak sedarkan diri selepas roda monorel 14kg terjatuh ke kepalanya ketika sedang berjalan di bawah landasan yang baru dibina menyebabkan dia mengalami patah tulang dan kecederaan fizikal lain yang memberi kesan terhadap kemampuannya untuk bekerja dan menjalani kehidupan normal.

Pengamal media itu memfailkan saman terhadap Monorail Malaysia sebanyak RM5 juta, dan kes itu berlarutan lebih dari 10 tahun sebelum kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya pada 2012.

27 Okt 2006: Sebuah gerabak kosong LRT terbabas dari penghadang konkrit ketika berhenti di stesen Sentul Timur. Sebahagian gerabak tergantung sekitar 25m dari permukaan tanah.

24 Nov 2007: Dua tren LRT tergelincir ketika menghampiri stesen Sentul Timur, menyebabkan gangguan pada perkhidmatan di lima stesen di sepanjang laluan dan menyebabkan 10 penumpang terperangkap dalam tren yang terhenti di beberapa lokasi.

24 Sept 2008: Sebuah tren LRT menuju ke stesen Bukit Jalil tiba-tiba berhenti kira-kira 200m dari stesen sebelum dilanggar tren lain dari arah belakang menyebabkan empat penumpang cedera.

9 Sept 2016: Penumpang menaiki tren LRT di laluan Kelana Jaya terperangkap selama 20 minit selepas tren berkenaan terhenti sepenuhnya di antara stesen Dato Keramat dan Damai.

Lampu dan penghawa dingin turut terpadam menyebabkan keadaan panik dan kakitangan LRT kemudian datang menyelamatkan penumpang dengan membuka pintu tren dari luar dan penumpang terpaksa berjalan kaki ke stesen Damai.

Tepat setahun kemudian, gangguan antara stesen Setiawangsa dan KLCC menyebabkan penumpang terperangkap di dalam tren selama 20 minit.

22 Ogos 2018: Kira-kira 40 penumpang terkandas selama 20 minit di stesen LRT SS18 selepas tren berkenaan berhenti secara tiba-tiba dan pintu semua gerabak tidak berfungsi.

12 April 2021: Kejadian pokok dan ranting yang tumbang menyebabkan perkhidmatan tren di sepanjang laluan LRT Ampang dan Sri Petaling tergendala.

Penumpang terperangkap di dalam tren sementara pihak berkuasa bergegas menyelamatkan mereka yang mengambil masa selama tiga jam. Tiada kecederaan dilaporkan, namun penumpang mengeluh kerana kekurangan pencahayaan lampu dan pendingin hawa.

Malam tadi, tren LRT 181 dan 240 bertembung dalam kemalangan yang dikatakan polis disebabkan oleh “miscommunication” daripada pusat kawalan.

Hanya satu tren, yang dikendalikan secara automatik, membawa penumpang manakala satu lagi sedang dipandu uji secara manual.

Semua mangsa berjaya diselamatkan kurang dari satu jam dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top