KOTA KINABALU: Kegembiraan wanita yang sepatutnya dijemput suami dan anak sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, malam tadi bertukar sedih apabila menerima khabar duka kehilangan ketiga-tiga insan tersayang.
Jeanilee Escobar Assam, 46, yang baru tiba dari Manila, Filipina atas urusan kerja hanya mengetahui kemalangan ngeri yang menimpa keluarganya itu sebaik tiba di KKIA pada 3.28 pagi.
Difahamkan, Jeanilee dijadualkan tiba pada 12.50 tengah malam namun tertunda dan hanya menaiki pesawat dari Manila ke Kota Kinabalu pada 1.38 pagi.
Sebaik tiba di KKIA, dia terus dibawa ke Jabatan Forensik HQE I Kota Kinabalu, sebelum terpaksa ditenangkan ahli keluarga lain.
Bapa saudara kepada Jimmykal Assam, Nazro Harun, 42, berkata, dia amat terkejut apabila mendapat berita kemalanganitu.
Katanya, dia kemudian bergegas ke lokasi dan pilu apabila melihat ketiga-tiga ahli keluarganya itu sudah meninggal dunia.
“Anak saudara saya bersama anaknya dalam perjalanan dari rumah mereka di Angkasa Apartment menuju ke KKIA untuk menjemput isterinya selepas seminggu berada Filipina atas urusan kerja.
“Kami sekeluaga terkejut dan amat sedih… lagi-lagi ibunya apabila apabila bukan saja kehilangan suami malah kedua-dua anaknya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik HQE I.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku akibat permukaan jalan yang licin akibat hujan.
“Pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaannya yang terbabas sendiri sebelum merempuh tiang jejambat berkenaan.
“Pemandu tidak disyaki mabuk, namun, sampel darah mangsa akan diambil semasa proses bedah siasat untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan pengesahan,” katanya.
Mohd Zaidi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam kemalangan di Jalan Lintas, Luyang, 11.24 malam tadi, Jimmykal Jaujali Assam, 44, dan dua anaknya iaitu Sazfa, 11, dan Alkail, 16, meninggal dunia manakala seorang lagi kanak-kanak lelaki, 4, parah dan kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I). – HMetro