Kemajuan Lebuh Raya Pan Borneo Tak Memberangsangkan: Bung Gesa Kabinet Persekutuan Bertindak Segera

Bung-1.jpg
Kongsi Bersama

LAHAD DATU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin mendesak kabinet persekutuan supaya bertindak segera berhubung status projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah yang sehingga kini masih belum ada sebarang kemajuan memberangsangkan.

Beliau menggesa Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz supaya mengadakan mesyuarat sesegera yang mungkin bersama Menteri Kerja Raya Malaysia dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancangan Ekonomi, EPU) berhubung perkara tersebut.

Bung menyatakan ketidakpuasan hati terhadap tindakan perlahan kementerian terlibat seolah-olah tidak menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) walaupun kerajaan negeri telah menyetujui untuk melaksanakan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah menerusi inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

Jelas beliau, walaupun kerajaan persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM1 bilion untuk pembangunan infrastruktur ianya masih tidak mencukupi untuk menyiapkan 22 pakej Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Fasa Satu.

Katanya, jika dilaksanakan menerusi peruntukan RM1 bilion setahun itu, ianya memakan masa 20 tahun untuk menyiapkan 22 pakej Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Fasa Satu sedangkan Pan Borneo di Sarawak sudah hampir 80 peratus siap.

Justeru Bung mendesak supaya Zafrul mengadakan mesyuarat segera bagi menyelesaikan perkara itu memandangkan keadaan jalan raya di Sabah semakin ‘nazak’ setiap hari lebih-lebih lagi ekoran hujan berterusan sejak kebelakangan ini sehingga mengancam keselamatan ramai pengguna.

Tegas beliau, sekiranya tidak ada tindakan dilakukan berhubung perkara itu, maka apa yang diperjuangkan dalam MA63 oleh kerajaan hanyalah sia-sia yang jelas menunjukkan hak-hak rakyat Sabah tidak dihormati.

“Buat mesyuarat cepat-cepat, sebab sekarang musim hujan banyak jalan rosak. Tunaikan janji buat jalan raya fasa satu Pan Borneo 22 pakej itu. Saya minta menteri jangan tidur, ” katanya dalam satu sidang media sejurus merasmikan majlis pecah tanah Loji Rawatan Air (LRA) baharu Lahad Datu Fasa 1 dekat sini hari ini. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top