Oleh:: Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABALU Pendekatan baharu ‘Keluarga Malaysia’ yang dikemukakan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Yaakob sangat tepat pada masanya di saat rakyat negara ini berdepan krisis politik, pandemik kesihatan dan situasi ekonomi yang tidak menentu.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ‘Keluarga Malaysia’ menuntut kebersamaan semua pihak dalam menghadapi semua situasi yang mencabar itu.
Menurut Bung yang juga Ketua Umno Sabah , konsep ‘Keluarga Malaysia’ juga menuntut muafakat serta semangat soladariti semua pihak untuk saling berganding bahu.
“Ikatan serta nilai kekeluargaan ini amat penting ketika kita berhadapan dengan suasana getir untuk menjayakan agenda utama pemulihan negara, ” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini bagi mengulas ucapan sulung Perdana Menteri ke-9 petang semalam.
Perdana Menteri dalam ucapan sulungnya kemarin memperkenalkan pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ bagi mengajak semua pihak termasuk Ahli Parlimen pembangkang untuk bersama-sama memulihkan ekonomi dan menangani masalah penularan pandemik COVID-19 secara menyeluruh.
Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya hasrat untuk melihat kebersamaan semua pihak itu terbukti dengan keterbukaan Perdana Menteri mengambil langkah rentas parti dengan mempelawa pembangkang menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 yang sewajarnya di sahut oleh pihak pembangkang.
“Semua pihak perlu bersatu melupakan segala perbezaaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat” jelas Bung
Dalam pada itu Bung menambah komitmen Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri menjaga kesihatan rakyat terbukti dengan langkah kerajaan membuat pembelian tambahan sejumlah 6 juta dos vaksin yang sudah tentu menyaksikan Sabah akan turut menerima agihannya berdasarkan kepada keperluan yang ketika ini belum mencukupi
“Kita beterima kasih kerana kerajaan terus memperhebatkan inisiatif dan strategi dalam meningkatkan liputan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung di mana kita yakin melalui melalui program ini pandemik COVID-19 akan dapat dilandaikan dan sektor ekonomi akan dapat dipulihkan segara,” katanya.
Sehubungan itu Bung berkata kerajaan negeri (GRS) akan terus mendokong usaha serta kesungguhan Perdana Menteri dalam menjayakan agenda ‘Keluarga Malaysia’ terutamanya dalam menangani isu kesihatan dan ekonomi rakyat di negeri ini yang terjejas akibat penularan Pandemik COVID-19
“Seperti saya maklumkan sebelum ini kita akan pertahankan kerajaan GRS, selari dengan mandat yang diberikan oleh rakyat selepas PRN tahun lepas bagi menjaga kestabilan politik, ekonomi dan kesihatan rakyat,” tegas beliau.