Kelonggaran Bagi Perniagaan Beroperasi ‘Sabotaj’ Kerajaan Berikutnya – Pemuda PKR Sabah

razeef.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Pemuda PKR Sabah Razeef Rakimin berkata, tindakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan kelonggaran bagi beberapa jenis perniagaan beroperasi berunsur sabotaj buat kerajaan berikutnya.

Beliau mendakwa, kelonggaran yang diumumkan dalam keadaan negara yang sangat kritikal itu akan menjadikan jangkitan Covid-19 semakin serius.

“Pada pandangan saya, pengumuman kelonggaran kepada beberapa sektor ekonomi untuk beroperasi dalam fasa satu Program Pemulihan Negara (PPN) adalah berunsur sabotaj secara jelas.

“Tindakan beliau (Muhyiddin) juga mungkin disengajakan bagi menggagalkan pelan pemulihan oleh kerajaan berikutnya. Ini kerana jika sektor ekonomi yang baru sahaja dibenarkan beroperasi diarahkan untuk ditutup semula, sudah pasti para peniaga akan marah kepada kerajaan berikutnya.

“Selain itu, jika sektor-sektor perniagaan ini terus dibenarkan beroperasi kita tidak menolak kemungkinan kenaikan mendadak kes harian Covid-19 dan sudah tentu yang dipersalahkan adalah kerajaan berikutnya,” katanya dalam kenyataan.

Razeef berkata, walaupun kelonggaran itu hanya bagi mereka yang lengkap vaksinasi, tidak bermakna jangkitan Covid-19 tidak akan berlaku.

“Ini kerana umum tahu vaksin hanya meningkatkan tahap imunisasi tubuh tetapi tidak bermakna kita akan kebal dari terkena wabak Covid-19 dan jika ini berlaku, orang yang dijangkiti akan menjadi pembawa dan tidak mustahil akan turut menjangkiti mereka yang belum menerima suntikan vaksin, terutama kanak-kanak.

“Maka pada hemat saya, tindakan Muhyiddin ini seolah cubaan sabotaj kepada kerajaan berikutnya yang boleh melumpuhkan lagi keselamatan, kesihatan dan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, pengumuman yang dibuat Muhyiddin itu tidak mengejutkan kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini tidak pernah konsisten dalam menguatkuasakan suatu pelan ataupun prosedur operasi standard (SOP).

“Dengan pelonggaran dalam keadaan negara yang berdepan dengan kes di atas paras 20,000 kes sehari dan dengan kematian di atas paras 200 kes sehari, Muhyiddin hanya menjadikan keadaan semakin teruk,” katanya. – FMT

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top