KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberi peringatan kepada orang ramai untuk sentiasa berwaspada susulan lebih banyak kelonggaran aktiviti diumumkan.
Menerusi perkongsian di media sosial beliau, Dr Noor Hisham berkata kelonggaran aktiviti itu adalah untuk membantu ekonomi dan bukan kerana ia selamat.
“Pastikan pakai pelitup muka, dua lapis jika perlu, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa mencuci tangan.
“Elak kawasan sesak dan tempat yang sempit. Sentiasa berwaspada dan dapatkan vaksin (COVID-19) dengan segera,” memetik status beliau.
Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan beberapa kelonggaran aktiviti sosial dan perniagaan bagi individu lengkap divaksin di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ia termasuk kebenaran ‘dine-in’; sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta pasar malam dan pasar minggu.