Kelibat Jerung Mako Dirakam Di Pulau Mabul

jerung.jpg
Kongsi Bersama

SEMPORNA: Spesis ikan yu dikenali sebagai jerung mako dengan saiz kira-kira empat meter ditemukan di perairan Pulau Mabul di sini baru-baru ini.

Jerung mako jenis sirip pendek itu antara haiwan yang dikenal pasti terancam di bawah Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemuliharaan Alam (IUCN).

Seorang pelancong tempatan Sylvian Kok berjaya merakamkan kelibat ikan jerung mako terbabit semasa berada di kepulauan berkenaan hujung Disember lepas.

Kehadiran haiwan terbabit di luar habitat kebiasaannya menjadi satu pengalaman menarik bagi pelancong yang menyaksikan kelibatnya.

Bagaimanapun, penemuan itu juga berkemungkinan boleh menjadi keadaan yang menakutkan.

Pengurus Konservasi Scuba Junkie SEAS Cat McCann dalam kenyataannya berkata, kelibat jerung mako terbabit dirakam sedang menghampiri bangkai seekor ikan layaran yang terapung di permukaan laut.

Katanya, ikan jerung itu didapati berada di kawasan air cetek yang mana ia berbeza dengan kebiasaan spesis berkenaan yang memilih kawasan laut terbuka.

Menurutnya, video ikan jerung mako yang dirakamkan oleh Sylvian mula tular selepas dimuat naik ke media sosial hingga mendapat perlbagai reaksi dalam kalangan netizen yang tertarik dengan penemuan spesis ikan yu itu.

“Berdasarkan dari saiz sirip pektoral dan bentuk muncungnya, ia dikenal pasti sebagai jerung mako sirip pendek (Isurus Oxyrinchus).

“Spesis jerung ini juga diketahui mampu melompat keluar ke permukaan air sehingga mencapai ketinggian 20 kaki atau hampir lima meter dan kelajuan berenang lebih 70 kilometer sejam dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Selain itu jelasnya, penemuan terbabit juga menjadi petanda wujudnya biodiversiti marin yang mengagumkan di Sabah khususnya di daerah Semporna.

Pada masa sama, pelancong yang datang ke Semporna turut teruja untuk menyelam bersama jerung.

Beliau berkata, satu kajian dari Institut Sains Marin Australia yang dijalankan oleh Dr Johanna Zimmerhackel mengenal pasti aktiviti pelancongan menyelam bersama jerung menghasilkan pulangan sehingga USD16.6 juta (RM69.76 juta) kepada Semporna pada 2018. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top