Kelas Jam 8 Pagi Tidak Sesuai Dilaksana Di Sarawak, Sabah

sekolah-pkl-8.jpg
Kongsi Bersama

BETONG: Cadangan untuk memulakan sesi persekolahan pada jam 8 pagi dilihat tidak sesuai dilaksanakan di Sarawak, Sabah.

Bagaimanapun, ia praktikal di Semenanjung Malaysia serta dilihat sebagai cadangan ilmiah kerana memberi peluang kepada pelajar membuat persiapan rapi sebelum turun ke sekolah.

Demikian pandangan Pengerusi Lembaga Amanah Khairat Islam Spaoh (Lakis) Dr Abang Ismail Abang Julhi berhubung isu yang dibangkitkan oleh Pakar Pendidikan Pusat Kajian dan Kesejahteraan Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad.

Tegas Abang Ismail, situasi di Sarawak, Sabah agak berbeza dengan Semenanjung Malaysia ekoran peredaran masa tidak sama.

“Maknanya jam 8 pagi di Kelantan atau Perlis sama juga jam 8 pagi di Tawau dan Kuching.

“Tetapi hakikat peredaran masa kita tidak sama.

“Sekarang ini waktu Subuh di Tawau 5.15 pagi, sedangkan di Perlis 6.25 pagi.

“Maka, wujud perbezaan masa antara Sabah dengan Perlis sekitar sejam 10 minit dan di Sarawak mungkin satu jam.

“Justeru, saya fikir masa tersebut agak lewat untuk memulakan sesi persekolahan,” katanya ketika mengulas isu cadangan untuk memulakan sesi persekolahan pada 8 pagi di sini, kelmarin.

Seperkara lagi jelas ahli akademik itu, anak patut dilatih bangun awal sekitar 5 pagi untuk membiasakan mereka menunaikan kewajiban solat Subuh bagi yang beragama Islam.

“Di samping itu, ia dapat melatih mereka untuk tidur awal sekitar 9 atau 10 malam agar mendapatkan masa tidur yang ideal dan mencukupi bagi golongan yang berusia tujuh hingga 17 tahun.

“Isu kedua yang bersangkut paut dengan cadangan tersebut, waktu pejabat yang sama dengan waktu sekolah.

“Pejabat kerajaan di Sarawak, Sabah kebanyakannya bermula 8 pagi, ada juga 8.30 pagi bergantung kepada masa alternatif.

“Jadi sekiranya masa persekolahan sama dengan waktu pejabat akan mengundang kesesakan yang lebih kritikal terutama bagi sekolah di bandar.

“Sekarang pun sudah berlaku di kebanyakan bandar utama seperti Kuching, Miri, Kota Kinabalu, Tawau dan sebagainya,” ujarnya.

Tambah Abang Ismail, kesannya ibu bapa akan berpusu-pusu menghantar anak mereka pada masa itu sebelum turun ke pejabat.

“Saya tidak menolak kemungkinan ibu bapa memberi alasan lewat masuk ke pejabat kerana keadaan kesesakan sewaktu menghantar anak ke sekolah.

“Dalam hal ini saya nampak timbul dua isu yang saling berkait.

“Oleh demikian, saya berpandangan masa persekolahan di Sarawak, Sabah yang kini bermula sekitar 7 pagi hingga 7.30 pagi merupakan masa terbaik memandangkan peredaran masa yang tidak sama dan keadaan waktu sama dengan waktu pejabat kerajaan,” tegasnya.

Bahkan ini menurutnya, belum lagi melihat keadaan sekolah yang mengamalkan dua sesi.

“Saya harapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat melihat semula cadangan tersebut,” katanya.

Terdahulu memetik akhbar nasional, cadangan sama pernah dilontarkan oleh Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan pada sidang Dun 2018.

Sumber: Sarawak Voice

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top