KOTA KINABALU: Pemindahan ibu kota negara dari Jakarta ke Kalimantan Timur, Indonesia akan memberi kesan limpahan ekonomi terhadap Sabah dan Sarawak.
Menurut Duta Khas Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP – EAGA) Sabah, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Sabah berpeluang untuk membangun dan mengembangkan pasaran khususnya di Kota Kinabalu dan Tawau.
“Kita akan mempunyai pasaran yang lebih besar iaitu daripada pasaran mungkin sekitar tiga atau empat juta Sabahan, sekarang bertambah sebanyak 15 juta pasaran kepada produk kita iaitu daripada Kalimantan Timur dan Kalimantan Utara.
“Selain itu, saya berpendapat bahawa apabila ibu kota ini mula berkembang, semua pekerja dan syarikat di Java Island akan berpindah ke Kalimantan. Seperti yang kita tahu, pendapatan per kapita Sabah jika dibandingkan dengan Kalimantan Utara serta Kalimantan Timur, saya rasa kita jauh ketinggalan.
“Saya juga diberi tahu bahawa kita mempunyai lebih daripada 4000 US per kapita di sabah manakala di Kalimantan lebih daripada 7000 US pendapatan per kapita. Jadi daripada itu, kita dapat memanfaatkan banyak dari penamaan semula ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Webinar “Kelahiran Nusantara Peluang Untuk BIMP-EAGA” yang diadakan secara maya melalui platform ZOOM, baru-baru ini.
Katanya lagi, Sabah akan menjadi hab perkapalan dan buat masa sekarang satu pelabuhan di Sepanggar sedang dibangunkan begitu juga dengan pelabuhan di Lahad Datu serta pembangunan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu.
Sehubungan itu, beliau meminta agar daerah Tawau turut dibangunkan selari dengan negara jiran iaitu ibu kota negara kedua terbesar di dunia kerana dalam beberapa masa kedepan, manfaat daripada pemindahan ini akan membenarkan daerah Tawau untuk berkembang pesat.
Pandikar Amin menegaskan supaya pemimpin-pemimpin daripada Putrajaya iaitu kerajaan pada masa ini akan membuka mata agar sabah dan Sarawak itu dilihat sebagai negeri dalam Malaysia yang perlu juga untuk dibangunkan.
“Saya juga berharap agar pemimpin-pemimpin daripada Putrajaya berani untuk melakukan perkara seperti Indonesia serta melihat Sabah dan Sarawak sebagai negeri yang wajar untuk dibangun kerana sejak merdeka tahun 1963 dua buah negeri ini terus menyokong apa sahaja rancangan-rancangan yang diutarakan kerajaan pusat.
“sekarang ini kita mulai dengar ada suara-suara sumbang dari pada generasi muda dan daripada pemimpin-pemimpin yang berumur dan tindakan-tindakan daripada negeri Sarawak yang meminda nama Yang Berhormat Ketua Menteri kepada ‘Premier’ dan di Sabah nampaknya lambat laun akan ikut seperti Sarawak.
“Selain itu, pemimpin-pemimpin di Putrajaya juga harus fokuskan kepada dua negeri ini selain daripada memfokuskan segala Pembangunan dan pertikaian politik yang tiada kesudahan di Semenanjung Malaysia,” jelasnya. – Media Sabah