Kelab Kebajikan, Kelab Komuniti Sumbang 400 Bakul Makanan Untuk 21 Kampung

jahid-bakul-makanan.jpg
Kongsi Bersama

TAMPARULI: Sebanyak 400 bantuan bakul makanan diagihkan kepada 21 kampung di Tamparuli dan Kiulu sempena Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran Kelab Kebajikan Raisul dan Kelab Komuniti Mitatabang di sini, hari ini.

Daripada jumlah tersebut, 150 bakul makanan disumbangkan di Tamparuli, manakala selebihnya 250 lagi di Kiulu.

Bagi kawasan Tamparuli, Kampung Wangkod, Madang dan Gayaratau telah terpilih sebagai lokasi program mereka.

Di Kampung Wangkod, sebanyak 50 bakul makanan disampaikan, Kampung Madang 53 bakul, dan Kampung Gayaratau 47 bakul.

Turut bersama sepanjang program di tiga kampung tersebut ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, Datuk Jahid Jahim.

Menurut Jahid, semangat sukarela kedua-dua NGO berkenaan amat dihargai, sebagai nilai tambah kepada usaha-usaha yang dibuat kerajaan bagi membantu golongan yang terkesan akibat COVID-19 dan bencana alam di peringkat daerah.

“Saya difahamkan mereka yang terpilih hari ini adalah daripada golongan orang kelainan upaya (OKU), warga emas, orang sakit dan penduduk kurang berkemampuan.

“Syabas dan tahniah kepada anak-anak muda yang telah mengambil inisiatif mulia ini, semoga memberi manfaat kepada semua golongan sasar mereka.

“Bagi pihak kepimpinan negeri, khususnya di kawasan Tamparuli, kami ingin berterima kasih kepada kedua-dua NGO ini kerana sudi berbakti bagi membantu masyarakat kampung yang memerlukan,” katanya.

Hadir sama ialah Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, yang juga Pengerusi Kelab Kebajikan Raisul, Assalam bin Datuk Sulaiman Omar, Pengerusi Komuniti Mitatabang, Dr. Bonaventure Boniface, dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak.

Sementara itu, Dr Bonaventure memberitahu, kedua-dua NGO tersebut terdiri dalam kalangan belia dan golongan dewasa, yang bergabung tenaga sebagai sukarelawan bagi membantu golongan memerlukan.

Bagi Assalam pula, pihaknya amat berbesar hati kerana selain dapat membantu penduduk memerlukan, mereka juga berpeluang menimba pengalaman melawat ke pelbagai kawasan-kawasan baharu di Tamparuli dan Kiulu.

Mewakili semua penerima ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Wangkod, Jefanus Jamin, Pengerusi JPKK Kampung Madang, Claudius Maikol, Ketua Kampung Madang, KK Dosni @ Mathius Sabiau dan Pengerusi JPKK Kampung Gayaratau, Johari Kuruak.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top