KOTA KINABALU: Enam persatuan perniagaan merayu kepada Ketua Menteri agar kerajaan negeri boleh menyelesaikan masalah kekurangan pekerja asing.
Enam persatuan itu adalah Persatuan Perusahaan Kayu-Kayan Sabah (STIA), Persatuan Kayu-Kayan Sabah, Persatuan Perabot Sabah, Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Sabah, Persatuan Majikan Sabah (SEA) dan Pertubuhan Peladang Malaysia Timur.
Rayuan berkenaan disertakan beberapa cadangan pendekatan dilakukan menerusi satu memorandum yang dihantar kepada Ketua Menteri oleh Setiausaha Agung SEA merangkap Ahli Jawatankuasa STIA Fong Ming San.
Memorandum berkenaan diterima oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Dr Joachim Gunsalam dalam satu kunjungan hormat dilakukan Fong di Wisma Kewangan pada Khamis lalu.
Fong berkata, industri di Sabah sangat bergantung dengan tenaga kerja asing dan kini berhadapan dengan kekurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya apabila negara ini menutup sempadan pada Mac 2020 disebabkan penularan COVID-19.
“Pekerja asing yang permit kerja sudah tamat tempoh telah pulang ke negara asal dan tidak dapat kembali ke Malaysia. Pada masa yang sama kerajaan juga membekukan pengambilan pekerja asing baharu.
“Dengan pelaksanaan beberapa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia telah menyebabkan aktiviti perniagaan ditutup, dioperasi dengan kapasiti terhad, apabila dibuka semula sektor ini, maka kita berhadapan dengan kekurangan pekerja khususnya dalam 3D iaitu ‘difficult, dirty and demanding’ yang mana tidak diminati pekerja tempatan,” katanya.
Beliau berharap, cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam memorandum dapat dipertimbangkan kerajaan negeri agar mampu mengatasi isu kekurangan pekerja asing di Sabah.