TAMBUNAN: Kerajaan Negeri Sabah sentiasa memberi penekanan ke atas pengeluaran hasil padi dan matlamat utama industri ialah untuk menampung keperluan beras penduduk tempatan.
“Pembangunan tanaman padi Negeri Sabah merupakan antara fokus utama Hala Tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya dan Dasar Pertanian Negeri Sabah Ketiga,” demikian kata Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan di Majlis Penyerahan Jentera Padi Jabatan Pertanian di Pejabat Pertanian Daerah Tambunan kelmarin.
“Walaubagaimanapun, isu kekurangan jentera padi yang sering dibangkitkan merupakan salah satu faktor yang menjadi batu penghalang kepada Kerajaan Negeri untuk meningkatkan pengeluaran hasil di Negeri Sabah,” katanya.
Menurutnya keperluan sebenar untuk kawasan sawah seluas 24,013 hektar ialah 480 buah jentera pembajak dan 480 jentera penuai (jentuai), namun hanya 211 buah jentera pembajak dan 143 buah jentuai yang aktif beroperasi.
Katanya antara impak negatif akibat kekuarangan jentera pertanian ialah keluasan bertanam sawah padi semakin berkurangan.
“Sebagai contoh, di daerah Tambunan menunjukkan penurunan keluasan bertanam sawah padi pada tahun 2022 sekurang-kurangnya 30%-40% penurunan. Di samping itu, harapan dan sasaran 60% tahap sara diri (SSL) beras menjelang tahun 2030 pastinya sukar dicapai,” katanya.
Jelasnya untuk menangani masalah kekurangan jentera pertanian, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) melalui Jabatan Pertanian Sabah telah menerima sebanyak 13 buah jentera pembajak dan 7 buah jentuai melalui Program Mekanisasi dan Automasi Agromakanan yang telah diselaraskan oleh pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).
Dengan adanya penambahan tersebut maka keluasan penanaman padi dijangka akan bertambah 1,300 hektar setahun.
Beliau melihat bahawa para pesawah yang hadir di majlis itu merupakan pesawah yang masih komited, berminat dan bersemangat mengusahakan tanaman padi.
Sementara itu perjanjian di antara Jabatan Pertanian Sabah dengan Pemberi Perkhidmatan Pembajakan dan Penuaian melalui Program Peminjaman Jentera Padi yang diadakan kelmarin diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua pesawah yang terlibat di daerah Tambunan dan Keningau.
Kitingan berkata kerajaan akan sentiasa berusaha meningkatkan bilangan jentera pertanian dari masa ke semasa dan menggalakkan penglibatan pihak swasta dalam membantu mempercepatkan pertumbuhan sektor tanaman padi di negeri ini.
“Selain itu, saya juga ingin menyeru agar semua Jabatan dan Agensi negeri mahupun persekutuan yang terlibat dalam sektor tanaman padi untuk memperkukuhkan kerjasama dan saling membantu antara satu sama lain dalam memacu sektor ini.
“Jabatan Pertanian Sabah (DoA), Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah (JPS), Lembaga Pertubuhan Peladang Sabah (LPP), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK), Pertubuhan Peladang Negeri Jentera (PPNJ), Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), merupakan pihak-pihak yang menjadi pemain utama dalam membangunkan industri tanaman padi di Sabah,” katanya.
Dalam ucapannya Kitingan turut menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan atas kelulusan perolehan jentera-jentera padi untuk rakyat Negeri Sabah.
Sementara itu sumbangan ikhlas Benih Padi TR8 turut diagihkan kepada Ketua-ketua Blok Pesawah yang hadir. Benih TR8 adalah benih padi daripada Jabatan Pertanian Sabah yang terkini dan mampu memberikan hasil sebanyak 7 tan sehektar.
Kitingan berkata, penggunaan benih padi TR8 itu perlu dikembangkan sebagai tanaman komersil dalam kalangan pesawah di Tambunan kerana benih padi varieti berkenaan memiliki kekebalan penyakit selain mampu mengeluarkan hasil tinggi berbanding benih padi varieti lain.
Beliau juga menyarankan pesawah-pesawah padi di kawasan Tambunan untuk mengusahakan tanaman padi secara komersil untuk meningkatkan pendapatan pesawah.
Turut hadir Pengarah Pertanian Sabah Jifrin Hj. Mohamad, Pegawai Daerah Tambunan Sobitin Makajil, Datin Seri Panglima Cecilia E. Kitingan dan, Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Negeri dan Persekutuan Daerah Tambunan.
Sumber: FB Jeffrey G. Kitingan Page