KOTA KINABALU: Sabah mempertimbangkang langkah merekrut pendatang dan orang tanpa kerakyatan bagi mengurangkan kekurangan buruh dalam pelbagai industri, kata Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri Datuk Phoong Jin Zhe.
Walaupun perkara ini boleh menjadi topik sensitif bagi banyak pihak, beliau berkata ia adalah sesuatu yang perlu dilihat secara serius dan ditangani. Phoong menyebut industri perladangan sebagai contoh di mana kekurangan pekerja berterusan.
Tambahan pula, katanya, langkah Sabah untuk meningkatkan perindustrian bermakna terdapat keperluan berterusan untuk buruh.
“Kebergantungan kepada pekerja asing boleh dikurangkan sekiranya negeri ini dapat memanfaatkan sumber semasa yang ada di Sabah,” katanya selepas menghadiri majlis makan tengah hari Tahun Baharu Cina bersama pengamal media di sini kelmarin.
Pada 25 Jan, Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Malaysia, Singapura dan Brunei, Karima El Korri menekankan keperluan mendesak untuk merangka penyelesaian bagi menangani ketidakwarganegaraan dan orang tidak berdokumen di Sabah.
Phoong berkata perlu ada mekanisme untuk membolehkan bukan warganegara menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Katanya, beliau memahami kesempitan keadaan dan isu itu adalah sesuatu yang sering dipolitikkan.
Bagaimanapun, ini bukan perkara yang harus diabaikan secara berterusan, katanya.
“Hakikat bahawa banyak industri, terutamanya bahagian perladangan, terus mengambil pekerja tanpa izin adalah bukti bahawa negeri perlu serius mencari jalan alternatif untuk menyelesaikan pelbagai perkara berkaitan,” katanya.
Berita asal: The Star