TENOM: Kekuatan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Bahagian Melalap dan Kemabong dapat menentukan sasaran pucuk pimpinan bertanding kawasan Parlimen Tenom dapat dicapai.
Timbalan Presiden STAR Datuk Ellron Alfred Angin berkata, demi mencapai sasaran bertanding Parlimen Tenom, dua bahagian tersebut perlu memperhebat program bersama rakyat di kampung-kampung.
“STAR bahagian Melalap dan Kemabong perlu meningkatkan keterlihatan rakyat di peringkat akar umbi demi memperkuat suara parti Sabah menuntut agihan 40 peratus hasil negeri yang dikutip Persekutuan,” katanya.
Menurut Ellron, suara wakil parti tempatan Sabah di Parlimen perlu diperkuatkan lagi untuk menggesa Kerajaan Persekutuan memberikan apa yang menjadi hak rakyat Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ellron yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah menegaskan Sabah memerlukan sumber kewangan yang lebih besar untuk memberi kemakmuran kepada negeri dan membantu rakyat meningkatkan kesejahteraan hidup.
Menurut Ellron yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook, perjuangan Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan sehingga dipenjara kerana menuntut hak-hak Sabah dalam Malaysia perlu dukungan para pemimpin parti di semua kawasan.
Ellron berkata demikian dalam pertemuan khas dengan para pemimpin STAR Bahagian Melalap dan Kemabong di Sakot Café di sini pada Sabtu.
Hadir sama Penyelaras STAR Parlimen Tenom Datuk Dr Lucas Umbol, Ketua Bahagian STAR Melalap Syarin Dewin dan mantan Penolong Setiausaha Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Melalap Jenson Tamio.
Pada majlis itu, Jenson mengetuai penyertaan 100 ahli baharu STAR dari Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kallang kepada Ellron yang disampaikan melalui Syarin.
Sementara itu Ellron menegaskan, pihanya mendapat makluman ramai pengundi di Tenom berbesar hati mahu menyertai STAR dan ramai juga penduduk mahukan lawatan kepimpinan parti untuk memberi sentuhan inspirasi perjuangan.
“Maka pemimpin STAR Bahagian Melalap dan Kemabong perlu mendekati para penyokong di peringkat akar umbi dengan memperbanyak program bersama rakyat,” kata Ellron.
Ellron menambah, kepimpinan STAR Bahagian Melalap dan Kemabong perlu melaksanakan pelbagai program bersama rakyat dan menjemput kehadiran pucuk pimpinan parti dengan lebih kerap.
Terdahulu, Syarin memaklumkan situasi endemik sekarang lebih memungkinkan pelaksanaan banyak program yang akan dimulakan dengan pelancaran jawatankuasa di semua 10 PDM bahagian itu pada masa terdekat untuk menghadapi pilihan raya umum Parlimen ini.- Sabah360Online