Kekangan kewangan, ibu bapa bayi rayu bantuan

bantuan.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Apabila Junior Isaiah Hanson dilahirkan pramatang dengan berat 770 gram, ibu bapanya diberitahu hayat anak mereka hanya mampu bertahan selama satu jam.

Bagaimanapun, bayi kepada bekas wartawan Stefyanie Myla dan malim gunung Hanson Ganson kini sudah berusia 11 bulan.

Malah, Junior turut berjaya menambah berat badan sehingga mencecah satu kilogram (kg) selepas mendapat rawatan konservatif di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, di sini.

Stefyanie berkata, bayinya disahkan menghidap stenosis trakea distal dengan komplikasi selepas menjalani pemeriksaan.

“Dia sudah menjalani pembedahan di Hospital Serdang, Selangor namun komplikasi timbul termasuk chylothorax berulang iaitu cecair susu yang terkumpul di dalam rongga dada.

“Junior juga menggunakan mesin tekanan saluran udara positif berterusan (CPAP) untuk membantu mengembangkan paru-paru kanan atasnya yang runtuh akibat penyakit paru-paru kronik,” katanya.

Menurutnya, selepas berbulan-bulan dimasukkan ke hospital, mereka sekeluarga gembira kerana Junior akhirnya boleh pulang ke rumah.

Bagaimanapun, katanya, dia kini berdepan masalah kewangan bagi menyelesaikan beberapa keperluan bayinya.

“Kami perlu mendapatkan pam penyusuan bernilai RM5,000 untuk susunya. Selain itu, kami perlu membeli beg penyusuan secara dalam talian dengan setiap satu berharga kira-kira RM21 untuk kegunaan setiap minggu.

“Memandangkan rumah kami di Kundasang sering mengalami catuan elektrik, maka kami memerlukan sekurang-kurangnya RM3,000 untuk membeli penjana kuasa,” katanya.

Selain itu, mereka memerlukan perbelanjaan berterusan untuk membeli tiub Ryles, perbelanjaan perjalanan antara Kundasang dan hospital bagi tujuan rawatan lanjut serta satu lagi rawatan susulan di Hospital Serdang pada Jun tahun depan.

Orang ramai boleh membuat sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP melalui akaun Bank Muamalat 1401 0008 8427 18 atau Maybank 5141 0532 3170.

Sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP layak mendapat pelepasan cukai. – HMetro

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top