KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor meminta rakyat mengekalkan perpaduan dan mengukuhkan komitmen untuk membangunkan negeri ini.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri telah melalui pelbagai ujian dan cabaran di bawah kepimpinannya sejak tiga tahun lalu.
“Bermula dengan pandemik, yang membawa kepada isu ekonomi dan pergolakan politik.
“Namun, berkat kesabaran, kegigihan dan perpaduan di kalangan rakyat, kami menghadapi segala-galanya dengan tabah dan penuh hikmah.
“Dalam masa sama, saya juga berasa bangga kerana Sabah yang dianugerahi kepelbagaian budaya dan kepercayaan, membolehkan kita hidup dalam keadaan aman dan saling menghormati antara satu sama lain.
“Keadaan ini telah membuka ruang yang luas untuk kita mengeksploitasi keupayaan dan membawa keluarga, masyarakat, negeri dan negara ke tahap yang lebih baik.
“Inilah pentingnya keamanan walaupun terdapat perbezaan agama, budaya dan kepercayaan,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Raya Aidilfitri 2024, di sini hari ini.
Dalam pada itu Hajiji turut mengingatkan rakyat agar tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan dan pertugas barisan hadapan yang tidak pernah jemu berkhidmat demi untuk negara termasuk pada musim perayaan.
“Tidak dilupakan kepada mereka yang serba kekurangan untuk terus diingati dan dibantu terutama pada musim perayaan ini.
“Saat ini juga adalah masanya untuk kita saling kunjung mengunjungi untuk mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai.
“Sehubungan itu, saya bagi pihak keluarga, jemaah menteri dan kerajaan negeri mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat di negeri ini,” katanya.