Kejohanan Piala BMR Platform Cungkil Bakat Baharu – Suhaimi

IMG-20210403-WA0006.jpg
Kongsi Bersama

SANDAKAN: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik, Suhaimi Nasir berkata kejohanan Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin (BMR) yang dianjurkan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) boleh menjadi platform terbaik bagi mencungkil bakat-bakat baharu dalam bola sepak di negeri ini.

Katanya, kejohanan yang membabitkan pemain-pemain bawah umur 18 tahun itu akan membantu memudahkan pencarian bakat-bakat yang boleh diketengahkan.

“Pada saya kejohanan ini satu insiatif yang baik untuk melahirkan pemain-pemain muda yang berpotensi dari seluruh negeri,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Piala Bung Moktar Radin peringkat Zon Pantai Timur Utara di Kompleks Sukan Sandakan di sini, kelmarin.

Menurut beliau, kejohanan seumpama ini juga memberi peluang kepada ramai bakat-bakat muda untuk terlibat dalam pertandingan bola sepak.

“Kita di negeri ini sangat kekurangan kejohanan bola sepak yang dianjurkan dan usaha mengadakan Piala Bung Moktar Radin ini satu usaha yang bagus dan wajar diberi sokongan semua pihak khususnya peminat sukan bola sepak,” katanya.

Suhaimi menambah, pada masa lalu, daerah Sandakan berjaya melahirkan ramai pemain untuk mewakili pasukan negeri terutama di sekitar tahun 1970-an dan 1980-an.

” Bagaimanapun, kekurangan pertandingan menyukarkan pencarian bakat-bakat baharu untuk digilap dari daerah ini pada masa sekarang,” ujarnya.

Beliau berharap kejohanan Piala Bung Moktar Radin ini menjadi permulaan untuk merealisasikan pencarian pemain-pemain muda yang boleh diketengahkan hingga ke tahap yang lebih tinggi.

Kejohanan itu disertai 31 daerah dari seluruh negeri membabitkan lapan zon iaitu Pantai Barat, Pantai Barat Utara, Pantai Barat Timur, Pantai Barat Selatan, Pantai Timur Utara, Pantai Timur Selatan, Zon Tengah dan Pedalaman.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top