Kejayaan Penghantar Makanan Dapat PhD Tarik Perhatian Ramai

Rider-PhD.jpg
Kongsi Bersama

KUANTAN: Kegigihan seorang penghantar makanan yang bekerja sambil belajar selama empat tahun membuahkan hasil apabila dia berjaya bergelar graduan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Teknologi Farmaseutikal.

Walaupun mencari rezeki sebagai ‘rider’ sepenuh masa sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia bukan penghalang bagi Mohd Akmal Azhar, 36 tahun, untuk menyiapkan tesis pengajiannya.

Bapa kepada lima orang anak ini pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaysia Pahang (UMP) selama enam tahun sebelum kontraknya tidak sambung pada tahun 2017.

Mohd Akmal kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat PhD setelah UMP menawarkan pembiayaan selama tiga tahun bagi menyiapkan tesisnya namun pada tahun keempat pengajian, beliau perlu mencari sumber pendapatan sendiri bagi membiayai pengajiannya itu.

Turut mengakui bekerja sebagai penghantar makanan dan dalam masa yang sama menyiapkan tesis PhD, adalah sangat mencabar.

Dia menghabiskan masa antara 10 hingga 12 jam sehari menghantar pesanan pelanggan di sekitar Bandaraya Kuantan.

“Cabaran yang paling utama sebenarnya dari segi masa. Ia kerana apabila sekatan dilonggarkan, dan sewaktu itulah juga menjadi sibuk.

“Apabila buat penghantaran itu, dapatlah pulangan dan perasaan itu membuatkan saya untuk terus mencari duit selagi boleh.

“Namun, dalam masa sama itu kita ada tanggungjawab lain kerana kita perlu selesaikan urusan pengajian, jadi saya kena pandai bahagikan masa dari segi itu.

“Macam saya buat ini, sebelum ini adalah waktu siang sahaja dan pada sebelah malam itu, kita kena luangkan masa untuk fokus pada tesis walaupun sebenarnya tidak banyak masa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Akmal berharap orang ramai tidak memandang rendah kepada penghantar makanan dan beranggapan golongan itu tidak mempunyai pendidikan tinggi.

Ini kerana, ada pelanggan bertanya kepadanya kenapa memilih kerjaya penghantar makanan.

Tambah Mohd Akmal, pekerjaan itu banyak mengajar beliau cara berkomunikasi, memupuk sifat sabar dan kemahiran pengurusan masa.

“Kita jangan pandang rendah pada penghantar makanan ini kerana kalau kita lihat sebenarnya, geng-geng penghantar makanan ini, kawan-kawan saya ini juga pun ada degree, master pun ramai.

“Mereka ini sebenarnya jadi penghantar makanan secara part-time sahaja, yang kerja hebat-hebat pun ada dengan latar belakang yang bagus.

“Tapi itulah hakikatnya, masyarakat kita ini sering mempunyai sentimen yang tidak baik, padahal sebenarnya mereka (rider) ini datangnya dari pelbagai latar belakang sebenarnya, asalkan rezeki halal, Alhamdulillah,” tambahnya lagi.

Mohd Akmal yang turut memiliki Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam Bidang Pengajian Bioteknologi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata buat masa ini akan meneruskan pekerjaannya ini sementara mendapat tawaran dari mana-mana pihak.

Isnin lalu, tular di media sosial sebuah syarikat penghantar makanan, ucapan tahniah kepada Mohd Akmal atas kejayaannya memperoleh PhD.

Pada Rabu, Mohd Akmal, turut diundang ke Istana Abdul Aziz menghadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang tertarik dengan semangat yang ditunjukkan Mohd Akmal. – Awani


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top