Kejayaan Dalam PRN Langkah Mula UMNO Sabah – Bung

bung-3.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kejayaan membentuk kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas memenangi pilihan raya negeri (PRN) lalu adalah “langkah permulaan” buat parti itu di Sabah.

Katanya, kejayaan itu juga sesuatu yang manis dan amat bermakna buat UMNO dan Barisan Nasional (BN) lebih-lebih lagi selepas parti itu berdepan dengan persepsi bahawa UMNO Sabah “sudah mati”.

“Kejayaan ini adalah satu langkah permulaan terbaik kepada parti dan ahli UMNO di Sabah sehingga ada kerusi baharu yang kita tandingi turut mencatat kemenangan.

“Namun, pemimpin dan ahli parti diingatkan agar sentiasa bermuhasabah diri dalam melaksanakan tugas serta amanah demi memperkasakan kekuatan UMNO supaya terus relevan seiring dengan tuntutan zaman,” katanya hari ini.

Bung berkata, ahli UMNO Sabah juga tidak harus terlalu nostalgik dengan kejayaan masa lampau sebaliknya fokus untuk terus membantu parti mencipta kejayaan baharu.

“Sejarah kejayaan UMNO Sabah yang memenangi 14 daripada 31 kerusi ditandingi pada PRN baru-baru ini bukanlah satu jaminan parti ini untuk terus berkuasa.

“Saya juga ingin mengingatkan pemimpin dan ahli agar tidak leka dengan kejayaan itu kerana ada sebahagian kerusi yang ditandingi oleh UMNO dan BN yang seharusnya boleh dimenangi terlepas ke tangan parti lawan,” katanya.

Beliau yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, pemimpin perlu sedar bahawa kekuatan parti bermula dengan hubungan di peringkat akar umbi dan rakyat.

Katanya, semua pemimpin di peringkat cawangan dan bahagian perlu aktif mengadakan program kemasyarakatan, termasuk membasmi kemiskinan, memperkasakan pendidikan dan ekonomi serta membantu rakyat ketika bencana.

“Perubahan landskap politik selepas pilihan raya umum Ke-14 (PRU14) menuntut parti melakukan transformasi dan pembaharuan dari segi pendekatan, nilai dan sikap bagi memulih dan memperkuhkan kepercayaan rakyat kepada UMNO dan BN,” katanya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top