Kejatuhan Kerajaan PH Rahmat Kepada Rakyat – Noraini

noraini.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan rahmat kepada UMNO atau Pas sebaliknya merupakan rahmat kepada Islam, orang Melayu, masyarakat bumiputera dan seluruh rakyat di negara ini.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, kerosakan yang telah dilakukan oleh kerajaan PH sebelum ini tidak dapat dibayangkan dan kejatuhan mereka banyak kebaikannya.

“Baik dari segi keharmonian antara kaum. Baik dari segi ekonomi. Segalanya berpaksikan kepada kelemahan sebuah kerajaan yang tidak bijak untuk mengemudi.

“Walaupun kita sekarang menjadi sebahagian daripada kerajaan, tetapi ini tidak bermakna, ia memberi lampu hijau kepada kerajaan sementara ini untuk bertindak sewenang-wenangnya.

“Ini tidak bermakna walaupun saya berpijak di dalam pentas sama, segala tindak-tanduk dan keputusan boleh yang menodai kepercayaan rakyat, tidak semestinya kita akur,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam.

Dalam pada itu, Noraini tidak menafikan enam bulan pertama pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) penuh semangat dan kegembiraan rakyat dan selepas itu dipenuhi hiruk-pikuk pergaduhan politik.

“Benarlah kuasa menguji manusia. Kita mudah menuturkan bicara ketika menunding jari. Hari ini apabila diberi kuasa dan peluang oleh Allah S.W.T., kita mengulangi sejarah perbalahan umat Islam sejak pembunuhan Saidina Usman Affan.

“Inilah tanggapan saya dalam keadaan politik orang Melayu hari ini. Walaupun kita tidak berperang dan berbunuhan secara fizikal, namun perang dan ‘pembunuhan’ dalam wacana politik juga bakal melemahkan politik Melayu-Islam sekali lagi,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top