Kehadiran Ratusan Gajah Pygmi Gamit Pelancong

gajah-pygmy.jpg

Kredit foto: Sarawak SportDance Association

Kongsi Bersama

LAHAD DATU: Panaroma luar biasa ratusan gajah pygmi atau gajah Borneo di Rizab Hidupan Liar Tabin di sini menggamit kedatangan pelancong yang mahu menyaksikan haiwan itu secara dekat.

Malah, video gerombolan haiwan yang dikenali sebagai “the gentle giant” itu turut tular di media sosial.

Pengurus Besar Tabin Wildlife Holidays Lawrence Chin berkata kawasan itu dipercayai merupakan laluan penghijrahan mamalia terbabit dalam setiap beberapa tahun dan keadaan itu seperti penghijrahan tahunan bagi gajah-gajah di Afrika.

“Ia tidak jejaskan keselamatan pelancong di sini. Kali terakhir gajah Pygmi berkumpul dalam kumpulan besar (ratusan) direkod di sini kira-kira 10 tahun lalu, kerana pada kebiasaan sebelum ini kumpulan haiwan ini dilihat bergerak dalam kawanan 20 hingga 50 ekor sahaja yang berkumpul di sekitar Tabin,” katanya ketika dihubungi BERNAMA

Katanya gajah Pygmi itu biasanya singgah berkeliaran di sekitar Tabin dengan memakan tumbuhan dan kemudian bergerak pergi.

“Kami tidak pasti sama ada Tabin mempunyai beberapa makanan kegemaran haiwan ini, tetapi saya rasa ini adalah laluan penghijrahan tahunan gajah ini,” katanya.

Rizab Hidupan Liar Tabin terletak di timur Sabah kira-kira 450 kilometer dari Kota Kinabalu, merangkumi keluasan kira-kira 121,405.69 hektar sekali gus menjadikannya rizab hidupan liar terbesar di Malaysia.

Gajah Pygmi atau nama saintifiknya Elephas maximus borneensis merupakan subspesies gajah Asia unik yang hanya terdapat di kepulauan Borneo.Haiwan itu bagaimanapun kini berstatus terancam dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN). – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top