Kehadiran penyokong Musa luar jangkaan polis

sambut-tun-musa-1.jpg

Kredit foto: Sabah Baru News

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kehadiran sekitar 4,000 penyokong yang menyambut ketibaan Yang Dipertua Negeri baharu Tun Musa Aman melebihi jangkaan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, ada penyokong yang datang dari luar daerah ini dan ia menyebabkan kehadiran mereka melebihi jangkaan.

Menurutnya, seramai 150 anggota polis bertugas bagi mengawal trafik dan keadaan para penyokong di kawasan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

Pihaknya turut memohon maaf kerana terpaksa melewatkan kebenaran untuk masuk berikutan kehadiran luar jangkaan para penyokong bekas Ketua Menteri itu.

Bagaimanapun jelasnya, tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku sehingga orang ramai mula bersurai.

“Semua tidak dibenarkan masuk sebab kawasan terlalu sempit dan kita bimbang jika berlaku kekecohan. Itulah sebab kita tidak benarkan masuk awal.

“Kemudian kita beri kebenaran masuk untuk memberi keselesaan kepada mereka,” katanya ketika ditemui media di sini pada Rabu.

Sementara itu beliau berkata, kawalan keselamatan dijalankan bermula jam 8 pagi melibatkan seluruh kawasan Terminal 2 dan juga simpang jalan.

Menurutnya, orang ramai yang datang dari daerah lain mula berkampung di sini sejak Selasa lepas termasuk ada yang datang dari Sandakan Beaufort, Keningau dan juga Tawau.

Dalam pada itu katanya, setakat ini penganjur bagi Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah yang akan diadakan pada 31 Disember 2024 di hadapan Menara Kinabalu di sini belum memohon permit kebenaran.

“Kita dapat tahu melalui hantaran di Facebook mengenai perhimpunan yang akan dianjurkan ini. Kita akan bagi kebenaran sebab ia hanya perhimpunan aman dan sesiapapun boleh berhimpun.

“Tidak ada masalah untuk mereka buat perhimpunan ini asalkan mereka mengikut peraturan dan mesti mendapat permit kebenaran.

“Saya dimaklumkan tidak ramai yang akan menyertai perhimpunan ini sekitar 30 hingga 50 orang sahaja dan biasanya permit boleh diperoleh dalam tempoh seminggu,” jelasnya. – Utusan Borneo

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top