TAWAU: Sambutan Hari Kebangsaan 2024 disambut di mana sahaja dan dengan pelbagai cara. Ia bermula sejak pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada 21 Julai lalu di Cyberjaya.
Aktiviti-aktiviti sambutan bertambah rancak apabila tarikh 31 Ogos semakin menghampiri. Antara yang tidak ketinggalan menambahkan kemeriahan suasana sambutan ialah komuniti Kampung Hidayat, di sini.
Semalam berlangsung program Sukaneka dan Malam Kemuncak Hari Kemerdekaan Malaysia peringkat Komuniti Kg Hidayat 2024 yang berlangsung di kawasan tanah lapang kampung berkenaan.
ADUN Apas, yang juga Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan turut hadir bagi memeriahkan lagi sambutan yang diserikan dengan pelbagai acara sebagai pengisian. Antaranya senaman, futsal wanita dan lelaki serta sukaneka.