KOTA KINABALU: Kehadiran komponen nasional dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah tertakluk kepada agenda, teras dan prinsip gabungan berkenaan, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.
Beliau berkata, ia adalah satu formula tempatan yang perlu dipelihara berlandaskan undang-undang yang telah ditetapkan GRS.
“Sebagai satu formula tempatan, ingin saya ulangi komitmen bahawa kehadiran komponen politik nasional dalam GRS, termasuk kehadiran saya sendiri selaku pengerusi GRS, adalah tertakluk kepada agenda, teras dan prinsip GRS.
“Komitmen kepada formula tempatan ini juga dipelihara dengan peruntukan undang-undang tubuh parti yang menetapkan bahawa teraju kepimpinan GRS adalah ditentukan melalui konsensus lokal iaitu kesepakatan parti-parti komponen GRS.
“Kita di Sabah akan menentukan sendiri barisan kepimpinan GRS bersandarkan kepada perlembagaan parti, setiap ahli GRS perlu berpegang teguh kepada agenda, teras, prinsip dan Perlembagaan GRS serta menjunjung keluhuran Perlembagaan negeri serta persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena perasmian persidangan perwakilan PBS, di sini, pada Jumaat.
Hajiji merupakan ketua Bersatu serta pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah dan Bersatu merupakan satu-satunya parti yang menyertai GRS.
Beliau berkata, GRS adalah sebuah jajaran politik lokal yang menjadi formula tempatan dalam mewujudkan permuafakatan rakyat bagi mendepani lanskap baharu politik negara.
“Sebagaimana GRS terbina atas mandat rakyat, penubuhan GRS sebagai sebuah entiti politik rasmi pada 11 Mac adalah juga manifestasi aspirasi rakyat.
“Akar umbi mahukan kita bersatu dalam sebuah wadah tempatan untuk memperkukuhkan perjuangan membela hak-hak dan kepentingan anak watan di persada politik lokal dan nasional,” katanya.