Kedudukan Pengerusi PKR Sabah Terus Goyah

christina.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kedudukan Datuk Christina Liew sebagai pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah terus goyah apabila satu lagi kumpulan pemimpin sayap negeri menggesa beliau disingkirkan.

Dalam satu kenyataan bersama, Skuad Pemuda, Wanita, Srikandi dan Keadilan PKR Sabah menggesa presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua cabang dan sayap di Sabah bagi membincangkan krisis kepimpinan yang sedang berlaku.

“Untuk mengukuhkan jentera PKR Sabah, kita memerlukan pemimpinan yang mendapat sokongan padu daripada majoriti supaya pemimpin berkenaan boleh membawa parti ke peringkat lebih tinggi dan bukannya menjadi ‘penumpang’ di bahtera parti lain,” kata mereka.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Pemuda PKR Sabah Razeef Rakimin, Ketua Penerangan Wanita Artini Ali Taugan, Ketua Penerangan Srikandi Siti Norffinie Yassin dan Ketua Penerangan Skuad Keadilan Mohamad Ridhwan Masrin.

“Kami berharap Presiden dapat menggunakan kebijaksanaan dan budi bicara sebagai pemimpin nombor satu parti untuk melunaskan kehendak akar umbi agar parti di peringkat negeri Sabah dapat memperkukuhkan semula kepimpinan sebelum menghadapi Pilihanraya Umum yang dijangka berlangsung tahun hadapan,” kata mereka.

Mereka mendedahkan 17 daripada ketua cabang PKR Sabah, serta pemimpin sayapnya, sebelum ini telah menandatangani akuan berkanun untuk menolak Christina.

Empat pemimpin sayap itu turut menyelar ketua penerangan PKR Sabah Chrisnadia Sinam kerana mempertahankan Christina.

Mereka menyifatkan kenyataan Chrisnadia itu hanya menujukkan ego pimpinan dan gagal menghormati pandangan golongan muda.

Pada Khamis, tiga ketua pemuda PKR Sabah, iaitu Tommy Thomas (Tawau), Presley Kurus (Sipitang). dan Mohd Raffi Jamaluddin (Keningau) juga telah mengeluarkan kenyataan menggesa penyingkiran Christina.

Sementara itu, Chrisnadia membidas tindakan Tommy kerana mempersoalkan kredibiliti Christina sebagai pemimpin.

Katanya, dakwaan Tommy adalah tidak berasas dan ia telah mencemarkan imej baik PKR Sabah.

Chrisnadia berkata bahawa Tommy telah gagal untuk mengiktiraf sumbangan Christina kepada kawasan pilihan raya Tawau.

“Beliau mengabaikan sumbangan besar Christina dalam menerajui PKR semasa pilihan raya umum sebelum ini, yang menyaksikan Warisan dan PH menumbangkan BN.

“PKR kemudiannya menjadi sebahagian daripada kerajaan Warisan Plus dan diberi jawatan Timbalan Ketua Menteri dan Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau menekankan hakikat bahawa Christina telah memberikan beberapa jawatan strategik kepada pemimpin pemuda PKR Sabah semasa era Warisan Plus.

Chrisnadia juga menafikan dakwaan Tommy bahawa Christina hanya mendapat sokongan empat ketua cawangan.

Beliau mendakwa tindakan itu didalangi oleh pemimpin tertentu yang mahu merosakkan nama baik PKR menjelang pilihan raya negeri Sarawak.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top