Kedai Makan Ditutup Awal, CAP Gesa Kerajaan Tidak Berganjak

Mohideen-CAP.jpg
Kongsi Bersama

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Putrajaya tidak berganjak daripada arahan untuk semua premis makanan ditutup awal susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan PKP 2.0, ketika pemilik restoran dan golongan pekerja mahu waktu operasi itu dilanjutkan.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader bukan saja mahu premis makanan ditutup awal ketika PKP, malah selepas pandemik itu terkawal kerana ia dapat membantu memupuk amalan pemakanan sihat dalam jangka panjang.

Ini kerana katanya, kebanyakan rakyat Malaysia sudah biasa dengan amalan pemakanan sepanjang hari kerana lebih banyak premis makanan beroperasi 24 jam.

“Walaupun saya fikir waktu penutupan 8 malam wajar dilanjutkan sehingga 9 malam, penutupan awal premis makanan ialah langkah baik. Kita selalu lihat orang makan nasi kandar pada awal pagi sebelum ini.

“Waktu penutupan awal akan menyebabkan orang ramai perlu membungkus makanan awal, makan tepat pada waktunya atau lebih baik lagi, makan makanan dimasak di rumah yang lebih sihat,” katanya kepada FMT.

Mohideen berkata, jumlah kes diabetes, darah tinggi dan serangan jantung ada kaitan dengan amalan pemakanan tidak sihat, oleh itu kerajaan mesti mengutamakan kesihatan rakyat.

Katanya, pakar mendapati hidangan larut malam dikaitkan dengan kenaikan berat badan dan kedai makan ditutup awal di negara maju.

Beliau berkata, penutupan awal premis makanan boleh menjadi “langkah permulaan” ke arah amalan pemakanan sihat dan pihak berkuasa perlu menggunakan peluang ini untuk mengkaji semula dasar kedai makan 24 jam.

Katanya, kos ekonomi untuk populasi tidak sihat adalah nyata.

“Lebih banyak hospital perlu dibina, lebih ramai doktor perlu dilatih, seiring peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang menyebabkan negara perlu membelanjakan lebih banyak wang.

“Tambahan, kos merawat NCD semakin mahal. Kami merasakan semua pihak berkuasa tempatan perlu berhenti mengeluarkan lesen kedai makan 24 jam dan kerajaan persekutuan harus membuat satu dasarnya mengenai perkara ini.”

Mohideen berkata, tabiat makan lewat malam secara tidak langsung meningkatkan jumlah kes diabetes di negara ini, dengan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 menunjukkan satu daripada lima orang dewasa atau kira-kira 3.9 juta individu berusia 18 tahun ke atas di Malaysia menghidap diabetes.

Katanya, jika dibandingkan dengan 1960, kemungkinan menghidap diabetes ialah 1% hingga 2% berbanding 18.3% pada 2019.

Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati 4,710 rakyat meninggal dunia akibat diabetes pada 2016 dan 13,150 orang lagi mati akibat tahap tinggi glukosa dalam darah, dan ini membimbangkan.

“Kematian akibat diabetes lebih banyak berbanding Covid-19.”

Semalam, kerajaan berkata, ia akan mempertimbangkan untuk melanjutkan waktu operasi sehingga 10 malam kerana golongan pekerja tidak mendapatkan makanan tepat pada waktunya susulan penutupan awal pada 8 malam. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top