Kedai Komputer, Buku, Alat Tulis dan Telekomunikasi Dibenar Beroperasi Bermula Esok – TPM

kedai-buku.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR : Kedai komputer, telekomunikasi serta kedai buku dan alat tulis dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa hari ini, 16 Julai 2021.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya semalam berkata sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Khamis bersetuju untuk memberi kebenaran itu setelah mengambil kira maklum balas pelajar, ibu bapa serta tenaga pengajar.

“Ini untuk memastikan guru serta pelajar dapat menjalankan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) tanpa gangguan,” katanya.

Ismail Sabri berkata pandemik COVID-19 telah mengubah cara pembelajaran harian, dan semua institusi pendidikan kini mempraktikkan sistem PdPR secara dalam talian.

Beliau berkata sidang khas MKN juga bersetuju untuk membenarkan pergerakan pelajar dari kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau ke kawasan PKPD dengan syarat mendapat kebenaran polis bagi tujuan mengambil peperiksaan termasuk peperiksaan profesional.

Mengenai 13,215 kes baharu positif COVID-19 yang dilaporkan Kementerian Kesihatan semalam, Ismail Sabri berkata ia disebabkan saringan secara besar-besaran dan bersasar yang dilakukan di kawasan PKPD terutama di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan yang merupakan tiga negeri penyumbang terbesar bagi kes hari ini.

Menurut beliau, daripada seramai 134,569 individu yang menjalani ujian saringan semalam, 50,646 individu disaring di Selangor dengan 6,120 kes positif COVID-19 direkodkan.

“Trend peningkatan kes positif COVID-19 bukan sahaja berlaku di Malaysia bahkan negara-negara jiran seperti Indonesia yang mencatatkan 56,757 kes positif hari ini. Thailand pula merekodkan sebanyak 9,186 kes positif,” katanya.

Beliau berkata negara-negara Eropah turut bergelut dengan peningkatan kes seperti United Kingdom yang mencatatkan 42,302 kes manakala Rusia yang mencatatkan 25,293 kes.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata tujuh lokaliti di Sabah dan Perak dikenakan PKPD berkuat kuasa Sabtu hingga 30 Julai, dengan lokaliti di Sabah adalah Kampung Perpaduan Gumpa di Kudat, Perumahan Sabah Forest Industry (SFI) di Sipitang serta Penjara Tawau dan kuarters Penjara Taman Ehsan di Tawau.

Tiga lokaliti di daerah Kerian, Perak yang dikenakan PKPD adalah Apartment Tropicana Bukit Merah, Kampung Tersusun Pondok Tanjung dan Kampung Binjai. – Bernama


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top