KOTA KINABALU: Gangguan bekalan elektrik yang dialami pengguna di beberapa kawasan pada malam Ahad berpunca daripada kecurian kabel.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid dalam satu kenyataan pada Selasa berkata siasatan mendapati kabel 66kV berhampiran persimpangan lampu isyarat Tanjung Aru milik SESB telah dipotong dan dicuri.
Katanya, kerosakan kabel itu mengakibatkan terputus bekalan kepada dua pencawang utama iaitu Pencawang Masuk Utama (PMU) Karamunsing dan Pencawang Agihan Utama Kundasang.
“Gangguan bekalan menjejaskan pengguna di sekitar Karamunsing, Kiulu, Pekan Nabalu dan Kundasang dengan anggaran jumlah kehilangan muatan oleh SESB sebanyak 14MW menjejaskan hampir 13,536 pengguna bermula kira-kira 9 malam Ahad,” kata Abdul Nasser.
“SESB kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab ini dan akan bekerjasama dengan polis untuk memastikan pelaku dan dalang dapat dibawa ke muka pengadilan. Kita juga akan melaksanakan beberapa inisiatif bersama polis supaya kejadian seperti itu dapat dielakkan,” katanya ketika mengadakan lawatan bersama polis ke lokasi kecurian.
Abdul Nasser menjelaskan, impak kejadian kecurian kabel menyebabkan bekalan tidak stabil di beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu.
SESB harus menggunakan kaedah interim dengan menyalurkan tenaga elektrik melalui sumber bekalan alternatif termasuk meletakkan penjana mudah alih di lokasi strategik bagi memastikan bekalan elektrik dibekalkan secara berterusan kepada pengguna terjejas.
Kerja-kerja pemulihan kabel yang rosak di bahagian Kota Kinabalu ke PMU Karamunsing serta penyiapan satu lagi kabel di bahagian PMU UMS ke PMU Karamunsing kerana satu lagi sumber bekalan tambahan sedang dijalankan.
“Usaha membaiki kabel 66kV sedang dilaksanakan dan dianggarkan ia akan mengambil masa dua minggu untuk disiapkan,” katanya sambil menambah bagi memastikan bekalan berterusan dapat diberikan kepada semua pengguna, langkah sementara telah dilaksanakan termasuk menempatkan tujuh penjana mudah alih. ke beberapa kawasan.
Abdul Nasser berkata sebagai penyelesaian jangka panjang, SESB juga sedang giat melaksanakan kerja naik taraf grid melalui projek tetulang kawasan pusat bagi menggantikan sistem penghantaran 66kV yang usang kepada sistem 132kV di sekitar Kota Kinabalu.
“Usaha ini akan disusuli dengan permulaan beberapa Pencawang Utama (PMU) 132kV baharu secara berperingkat awal tahun hadapan iaitu PMU Penampang, PMU Kota Kinabalu, PMU Inanam dan PMU Tg Lipat yang akan menstabilkan bekalan elektrik di Kota Kinabalu pada masa depan.”
Sumber: Borneo Post