Kecoh tiada air 4 hari di Pulau Pinang, di Sabah tiap hari air dicatu

armizan-1.jpg
Kongsi Bersama

PAPAR: Masalah infrastruktur yang melibatkan bekalan air dan elektrik menjadi sebab utama kenapa Sabah tidak dapat menjadi sebuah negeri perindustrian.

Sekiranya kedua-dua masalah itu dapat diatasi, potensi negeri ini dalam sektor perindustrian lebih besar daripada negeri-negeri di Semenanjung.

Bercakap mengenai perkara itu kepada pemberita selepas meninjau perkembangan projek Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa 2 di sini pada Jumaat, Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali berkata, apabila berlaku masalah bekalan air di Pulau Pinang baru-baru ini, keadaan menjadi kecoh satu negara walaupun tempoh gangguan kerana kerja-kerja penyelenggaraan yang telah dimaklumkan lebih awal itu hanya selama empat hari.

“Itu empat hari saja, kita di sini setiap hari bercatu air tetapi tidak mendapat perhatian sewajarnya. Orang kata, di Pulau Pinang selain kepentingan untuk rakyat, di sana ada industri. Kalau tiada air industri akan rugi, negara akan rugi.

“Jadi saya mahu katakan, walaupun di Sabah ini industri tidak banyak tetapi sebab isu asas ini tidak selesai maka industri tidak mahu datang, ” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu seterusnya berkata beliau yakin Sabah berpeluang untuk menjadi sebuah negeri perindustrian jika masalah bekalan air dan elektrik di negeri ini dapat diselesaikan.

Tegasnya, isu infrastruktur di Sabah harus diberi perhatian sewajarnya termasuk daripada media seperti apa yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini.

Mengenai projek LRA Kogopon Fasa 2 Armizan berkata, jika projek tersebut dapat disiapkan dengan cepat ia akan mampu menampung kawasan perindustrian di Putatan dan kawasan Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis.

“Sejak diamanahkan menjadi Ahli Parlimen Papar, saya telah empat kali turun ke LRA Kogopon iaitu bulan Februari, Jun dan Ogos tahun lalu dan hari ini. Jadi hasil taklimat perkembangan projek telah mencapai 4.48 peratus di mana tarikh siap yang dijadualkan adalah pada Ogos 2026 iaitu dalam tempoh tiga tahun.

“Namun projek ini amat penting kerana secara keseluruhannya akan meningkatkan kapasiti daripada 40 juta liter sehari yang sedia ada kepada 80 juta liter sehari yang bukan hanya boleh menampung keperluan dalam Parlimen Papar tetapi juga boleh menampung kawasan Ulu Kimanis termasuk SOGT dan kawasan selatan Parlimen Putatan serta Kem Lok Kawi yang turut terkesan dengan isu masalah air.

“Jadi walaupun projek ini mengambil tempoh sehingga tiga tahun tetapi kalau boleh saya minta satu tahun setengah untuk diberi tumpuan kepada siapkan loji rawatan itu terlebih dahulu untuk disalurkan kepada paip sedia ada dan diagihkan kepada pengguna,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top