KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah berharap Kerajaan Persekutuan tidak merayu keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang menolak rayuan Peguam Negara berhubung kebenaran semakan kehakiman 40 peratus hasil Sabah diberikan Mahkamah Tinggi kepada Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) pada November 2022.
PH Sabah yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)dalam kenyataannya berkata, biarlah permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh SLS itu didengar di mahkamah mengikut meritnya.
“PH Sabah mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan dalam menolak rayuan Kerajaan Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebelum ini yang membenarkan pendengaran substantif permohonan semakan kehakiman SLS untuk menguatkuasakan kelayakan perlembagaan 40 peratus Sabah.
“Kita sentiasa mengambil kedudukan bahawa sesiapa saja layak untuk mengemukakan sebarang pertikaian perlembagaan ke mahkamah.
“Kita berharap bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan merayu keputusan Mahkamah Rayuan itu dan biarkan permohonan semakan kehakiman SLS didengar mengikut meritnya,” kata kenyataan itu hari ini.
Dalam kenyataan yang sama, PH Sabah menyatakan keyakinan jika ada jalan lain yang boleh diambil untuk mengejar kelayakan 40 peratus Sabah itu, semua pihak harus terbuka mengambil peluang berkenaan.
“Atas sebab itu, PH Sabah terus menyokong usaha melalui jawatankuasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk akhirnya menghormati dan menerima semangat serta niat MA63,” katanya.