Kebenaran Rentas Negeri Dimuktamad Tiga Minggu Lagi – Hishammuddin

hishammuddin-1.jpg
Kongsi Bersama

JOHOR BAHRU: Kebenaran merentas negeri dijangka dapat dimuktamadkan dalam masa tiga minggu lagi, selepas beberapa langkah menyegerakan vaksinasi populasi dewasa di negara ini diambil dalam masa terdekat.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pihaknya juga telah mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mencapai sasaran itu iaitu 90 peratus orang dewasa selesai divaksin.

Katanya antara tindakan segera yang dilaksanakan ialah mengaturgerak lebih banyak Combat Medic Vaccination Team (CMVT) bagi memberi lebih banyak suntikan kepada orang awam di kawasan pedalaman.

Selain itu, memperluaskan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu yang memberi manfaat kepada orang awam yang tinggal berhampiran kem tentera.

“(Kebenaran) rentas negeri Perdana Menteri akan umumkan. Kita akan cuba umumkan kelonggaran itu apabila kita capai 90 peratus vaksin dewasa dan apa perancangan yang kita lakukan bersama dengan pihak KKM kita dapat jayakan dalam tiga minggu lagi.

“Jadi sebelum ianya diumumkan banyak perkara yang perlu kita fikirkan. SOP, tanggungjawab agensi dan sebagainya. Masa ini adalah untuk buat persiapan. Ramai yang tunggu untuk rentas negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat PPV Pandu Lalu di Kem PULADA Ulu Tiram, Johor.

Ujarnya lagi kelonggaran rentas negeri itu menuntut rakyat agar terus mengamalkan disiplin yang tinggi.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top