Kebakaran stor kabel: SESB rugi RM40 juta

kebakaran-sesb.jpg

Stor penyimpanan kabel milik SESB musnah dalam kebakaran di Batu 7, Jalan Tuaran terbakar tengah hari kelmarin. - (Foto: Ihsan Bomba)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menganggarkan mengalami kerugian mencecah RM40 juta akibat kebakaran yang memusnahkan sejumlah besar gulungan kabel di stor simpanan SESB di Inanam di sini Khamis lalu.

Pengerusi SESB, Datuk Seri Madius Tangau berkata, kebakaran yang bermula tengah hari itu membabitkan keluasan sehingga 1.2 hektar yang menempatkan sejumlah besar gulungan kabel milik SESB.

Katanya, kabel yang ditempatkan di stor terbuka ini adalah untuk diagihkan ke seluruh negeri dan kebanyakannya digunakan membuat penyambungan bekalan elektrik ke rumah pengguna.

“Kebakaran membabitkan kira-kira tiga ekar (1.2 hektar), bagaimanapun terdapat kabel yang dapat diselamatkan dengan anggaran awal kerugian sebanyak RM40 juta.

“Terdapat kabel yang baru sampai pagi Khamis untuk diagihkan ke seluruh Sabah musnah dalam kejadian ini dan setakat ini, punca kebakaran belum dikenal pasti.

“SESB terpaksa menempah semula kabel, khususnya untuk penyambungan bekalan elektrik ke rumah-rumah akibat insiden ini,” katanya ketika meninjau lokasi kebakaran bersama Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Mohd Yaakob Jaafar.

Madius dan Mohd Yaakob bergegas ke lokasi kebakaran selepas Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Bantuan SESB kepada 100 golongan asnaf di Masjid Ubbudiyah, Pekan Tamparuli, petang Khamis.

Beliau menyifatkan insiden itu sebagai kejadian malang kerana memusnahkan kelengkapan untuk prasarana elektrik, selain mengakibatkan jumlah kerugian yang besar.

“Apapun kita mengucapkan terima kasih kepada bomba kerana berusaha memadam kebakaran. Kita faham cabaran dihadapi bomba dan ini juga satu pengajaran kepada SESB untuk menyediakan tempat yang lebih selamat pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan kebakaran berjaya dikawal pada jam 5 petang bagaimanapun sebuah rumah kosong turut terbakar sepenuhnya dLam kejadian ini.

Pasukan bomba berjaya menyelamatkan sebuah stor penyimpanan Transformers, Minyak Hyraxoil, Mesin Feeder Pillar bangunan seluas 100X100 kaki persegi.

 

Berita asal: Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top