Kebakaran Mengorbankan Empat Sekeluarga di Penampang: Alamat Diberikan Tidak Tepat

kebakaran-penampang.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Maklumat tidak tepat daripada pemanggil antara punca kelewatan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memadam kebakaran di Taman Hungab, Penampang pada Selasa.

Dalam kebakaran pada pukul 2.52 pagi itu, empat beranak ditemukan rentung apabila rumah mereka terbakar hampir keseluruhan dalam kejadian itu.

Menurut Utusan Malaysia, Pengarah JBPM Sabah, Md Ali Ismail berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang tiba di tempat kejadian pada pukul 3.04 pagi dan ketika itu api sudah merebak pada bahagian bawah dan atas rumah berkenaan.

“Kelewatan ini diakibatkan oleh nota panggilan mengenai alamat yang tidak tepat diberi oleh salah seorang pemanggil dan ia menyebabkan pasukan bomba tersasar dan terpaksa mendapatkan maklumat sebenar untuk ke lokasi kebakaran sebenar.

“Hasil siasatan forensik bomba, punca kebakaran disebaban bebanan elektrik di tingkat bawah rumah dan bebanan api yang berlebihan menyebabkan api merebak dengan lebih cepat dan jangkaan api bermula pada pukul 2.32 pagi.

“Mangsa dipercayai tidak berjaya menyelamatkan diri kerana bahagia bawah rumah telah dipenuhi api dan semua tingkap dan pintu keluar adalah berjeriji besi serta berkunci,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Md Ali berkata, berdasarkan siasatan penuh, pihaknya mendapati terdapat empat panggilan kecemasan diterima melalui sistem tindak balas kecemasan Malaysia (Mers) 999 Melaka pada pukul 2.49 pagi. Melaka merupakan salah sebuah pusat panggilan di seluruh Malaysia selain Kuala Lumpur dan Kuching.

Pada peringkat awal petugas pusat panggilan MERS 999 telah mendapatkan empat maklumat asas iaitu berkenaan nama dan nombor telefon pemanggil, jenis kecemasan dan alamat lokasi kejadian dan maklumat tersebut telah disalurkan kepada Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah dan BBP Penampang yang menerima maklumat tersebut pada pukul 2.52 pagi dan menggerakkan sepasukan anggota bomba ke lokasi kebakaran.

Pada masa sama, petugas pusat panggilan Mers 999 masih meneruskan panggilan untuk mendapatkan maklumat tambahan berdasarkan protokol kebakaran untuk disalurkan kepada PGO JBPM Sabah.

Terdapat dua panggilan berkenaan kebakaran tersebut disambungkan ke PGO JBPM Sabah.

Selasa lalu, Matthew Wong, 50 bersama isteri Jecky Vun Kon Fung,47 serta dua anak lelaki mereka iaitu Brendan Wong,18 dan Eric Wong,15, ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran berkenaan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top