Kebakaran Di Taman Hungab: Respon Tidak Konsisten Undang Lebih Banyak Pertanyaan

Edward-Dagul-010419-768x480-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) mendapati respon tidak konsisten daripada pihak berkuasa khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) berhubung insiden kebakaran di Taman Hungab di Penampang yang meragut empat nyawa dari sebuah keluarga, mengundang banyak pertanyaan dan harus ditangani segera.

Timbalan Presiden parti itu, Edward Dagul (gambar), berkata Bomba harus berterus terang dan mengakui sekiranya terdapat kelemahan dalam sistem MERS999 secara keseluruhan.

“Orang ramai berhak mengetahui kebenaran insiden yang berlaku pada pagi malang itu dan kenapa Bomba tidak mendedahkan bahawa ada beberapa panggilan yang dibuat terus ke Balai Bomba Penampang dan Sembulan.

“Lagipun, Balai Bomba (Penampang) terletak hanya lebih kurang satu kilometer dari lokasi kebakaran,” katanya dalam kenyataan, di sini, pada Selasa.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah, Md Ali Ismail dipetik sebagai berkata bahawa setelah menjalankan siasatan penuh, didapati bahawa pasukan Bomba dihantar dari Balai Bomba Penampang tiga minit selepas menerima panggilan, tetapi terlewat disebabkan alamat salah yang diberikan oleh pemanggil.

“Dalam akhbar semalam, pemanggil sebenar malah mempertikaikan waktu yang dinyatakan dan sama ada pasukan yang dihantar benar-benar tahu atau paling tidak biasa dengan kawasan itu,” tegas Edward.

Sesuatu yang membimbangkan apabila membaca di akhbar bahawa maklumat itu pada awalnya disembunyikan daripada orang ramai dengan alasan bahawa waktu ketibaan pasukan Bomba di lokasi kebakaran adalah “rahsia”.

“Apa yang begitu rahsia sehingga Jabatan enggan berkongsi maklumat seperti itu?” tanya Edward.

Laporan-laporan bercanggah dan pertanyaan-pertanyaan ini perlu dijawab oleh Bomba untuk memupuk kepercayaan masyarakat terhadap sistem tersebut.

“Empat nyawa hilang dalam insiden itu dan untuk mengelakkan kemalangan seperti ini daripada berulang, kajian semula Prosedur Operasi Standard (SOP) Bomba perlu dibuat dan ia harus dimulakan dengan siasatan mendalam terhadap kes tersebut,” katanya. – WARTA ORIENTAL


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top