KOTA KINABALU: Sebanyak 10 buah rumah atas air di Kampung Tanjung Aru musnah dalam kebakaran yang berlaku pada 7 pagi tadi.
Kebakaran itu mengakibatkan 34 orang individu kehilangan tempat berteduh apabila rumah yang diduduki musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran itu.
Kebakaran di Tanjung Aru ini adalah kejadian kedua selepas kejadian pada 25 Mei lalu yang memusnahkan 33 buah rumah.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada 07.08 pagi dan sepasukan 40 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dengan menggunakan sebuah jentera kecemasan Fire Rescue Tender (FRT),sebuah jentera kecemasan Light Fire Rescue Tender (LFRT), dua buah Water tanker (Prime Mover), sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS), tiga buah RIM (Rapid Intervention Motocycle) dan 2 buah kenderaan utiliti.
Menurut Komander operasi, setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, pasukan seterusnya membuat pemadaman dengan teknik offensive firefighting/fire break untuk mengawal kebakaran tersebut daripada merebak ke rumah berhampiran dan pasukan bomba berjaya menyelamatkan puluhan rumah daripada turut musnah.
Anggaran kemusnahan yang terlibat daripada kebakaran ini adalah sebanyak 10 buah rumah atas air jenis tidak kekal yang musnah sepenuhnya.
Operasi terkawal pada 7:58 pagi dan tamat sepenuhnya pada 9.21 pagi. Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan. Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – BORNEO TODAY