Kebajikan Sabah Dan Sarawak Serta Agihan Kekayaan Perlu Jadi Agenda MA63 – Anwar

DSAI.jpg
Kongsi Bersama

KEPALA BATAS: Memberi tumpuan kepada aspek pendidikan dan kesihatan di Sabah serta Sarawak dan pengagihan kekayaan sama rata antara agenda yang perlu diberi penekanan oleh kerajaan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana persetujuan untuk memberi keutamaan kepada agenda tersebut adalah antara syarat termeterainya memorandum persefahaman dengan kerajaan sebelum ini.

Menurut Ketua Pembangkang itu lagi, kerajaan perlu meneliti semula apa yang sudah digariskan dalam MA63 dan melaksanakan apa yang perlu terutama pembangunan pendidikan rakyat Sabah dan Sarawak.

Selain itu, kekayaan yang hanya berkisar kepada pemimpin politik juga tidak selari dengan apa yang ingin dicapai dalam MA63.

“Saya tekankan perlanggaran hukum, perlanggaran prinsip sehingga kehilangan dana yang besar, balak dan kekayaan negeri bukan saja salah Semenanjung tetapi salah juga pemimpin-pemimpin dari Sarawak dan Sabah. Pemimpin politik ini semua kaya raya baik di Semenanjung atau di Sabah atau di Sarawak,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika mengulas mengenai kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan perlembagaan berkaitan MA 63 oleh Parlimen.

Terdahulu beliau menghadiri Perjumpaan Bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan Pelepasan Misi Bantuan Banjir ke Selangor dan Pahang di Penang Golf Resort, di sini pada Khamis.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut berkata, kerajaan perlu serius mempraktikkan apa yang sudah digariskan dalam MA63 jika mahu melihat berlakunya kestabilan dalam negara seperti pemilikan kekayaan antara kaum agar tiada yang tercicir.

Malangnya kata Anwar aspek tersebut katanya tidak diberi penekanan sedangkan ia asas sebuah kerajaan yang baik atau sering disebut sebagai Keluarga Malaysia.

“Sebenarnya kalau dasar itu telus transparence, good governance kita mesti jamin semua rakyat terutama yang susah dan miskin diberi pembelaan kepada semua kaum. Saya ingat ini tidak diberi penekanan,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau turut menyarankan agar kepimpinan PKR memberi ruang kepada tokoh baharu yang berkaliber dan pada masa sama menghargai pemimpin lama dalam usaha mengukuhkan kedudukan parti. – Awani


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top