Keabsahan kuota satu pertiga kerusi Parlimen Sabah, Sarawak akan dikaji – Azalina

parlimen.jpg

KOTA KINABALU: Keabsahan tuntutan agar Sabah dan Sarawak diperuntukkan satu pertiga daripada kerusi Dewan Rakyat akan dikaji semula melalui perbincangan yang melibatkan pegawai perundangan tertinggi Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

FMT dalam laporannya semalam memetic Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai berkata perkara itu dipersetujui oleh Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 pada mesyuarat 12 Sept.

Azalina berkata bahagian hal ehwal undang-undang sepatutnya menyediakan memorandum untuk dipertimbangkan oleh Jemaah Menteri selepas ia dibentangkan kepada majlis tindakan MA63.

“Bagaimanapun, pada 12 Sept 2024 majlis MA63 memutuskan untuk Jabatan Peguam Negara mengadakan perbincangan bersama Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak bagi meneliti semula tafsiran dan legitimasi ‘safeguard’ ini dari sudut perundangan.

“Jabatan Peguam Negara sedang mengambil tindakan sewajarnya mengenai perkara ini,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat kini terdiri daripada 222 ahli, iaitu 25 dari Sabah dan 31 dari Sarawak dengan gabungan 25.2% kuasa mengundi.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg, menegaskan bahawa memiliki satu pertiga daripada perwakilan di Dewan Rakyat adalah penting bagi negeri-negeri Borneo untuk menghalang sebarang usaha kerajaan persekutuan membatalkan peruntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketika Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963, Tanah Melayu—kini dikenali sebagai Semenanjung Malaysia—diperuntukkan 105 daripada 160 kerusi Dewan Rakyat, iaitu 65% daripada keseluruhan dewan. Sarawak diberikan 24 kerusi, Sabah 16, dan Singapura 15.

Gabungan negeri-negeri bukan Tanah Melayu menguasai 34.6% daripada jumlah kerusi, memberikan mereka kuasa veto terhadap sebarang perubahan perlembagaan, yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga. Namun, selepas Singapura keluar daripada persekutuan pada tahun 1965, penguasaan tersebut berkurangan kepada 27% daripada keseluruhan 144 kerusi di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Azlina juga memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) belum menerima sebarang cadangan rasmi berhubung penambahan 15 ahli Dewan Negara bagi Sabah dan Sarawak melalui pindaan perlembagaan.

“Perkara ini juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan MA63,” katanya sebagaimana dilaporkan FMT.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top