Ada dua pemimpin muda di Sabah yang saya perhatikan dari jauh menjelang PRU ke-14 dahulu. Pertama, Ewon Bennedick (sekarang Datuk) dari UPKO dan Jamawi Jaafar, Ketua Pemuda UMNO Tenom yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia ketika itu.
‘Perkenalan’ saya dengan mereka bermula dengan satu tugasan, menulis sesuatu tentang pemimpin pelapis BN di Sabah. Banyak nama yang belek. Ramai yang hebat. Tetapi yang dua orang ini benar-benar mencuri perhati saya.
Saya tidak pernah mengenali mereka secara peribadi. Dengan Jamawi ada sekali terserempak di Kuala Lumpur. Setakat hello begitu sahaja. Kalau dibuat kawad cam, memang saya akan kenal dia, tetapi dia sah-sah tak akan kenal dan cam saya.
Tetapi anda tidak perlu ke bulan untuk menulis tentang bulan. Anda tidak perlu mati terlebih dahulu jika mahu menulis tentang kematian.
Segala tentang mereka saya cari di internet. Yang baik yang buruk. Setiap hari selama beberapa minggu saya jengok laman Facebook (FB) mereka. Saya tak jadi sahabat FB kedua-duanya, tak juga follow. Saya cuma menjadi ‘stalker’.
Kedua-duanya rajin. Ewon malah boleh dianggap ‘super’ rajin. Sehari empat lima kali membuat hantaran. Hidupnya macam tidak ada kerja lain. Sarat dengan aktiviti parti dan masyarakat. Jamawi juga begitu.
Saya bertanya beberapa kawan di Sabah yang mengenali mereka. Jawapannya sesuai dengan yang saya jangka. Mereka pemimpin muda yang berpotensi. Waktu itu saya dapat merasakan yang mereka bakal dicalonkan pada PRU yang semakin mendekat, tetapi belum diketahui bila.
Dan mereka memang tercalon. Menang. Jamawi di Kemabong. Ewon di Kadamaian.
Landskap politik Sabah berubah. BN ‘bungkus’, Warisan dan kawan-kawan pula ambil alik. Ewon mengikut partinya, melompat ke kandang Warisan. Jamawi dan beberapa adun UMNO lain pun melakukan perkara yang sama dengan cara berbeza. Mereka menyertai Warisan sendiri-sendiri tanpa melibatkan parti.
Apa yang orang kata bagi saya tidak penting. Katak, tupai, biawak, cicak, terserah. Orang yang kata begitu begini pun belum tahu esok lusanya bagaimana. Ada kawan saya yang dahulu berapi-api menggelar Datuk Ibrahim Ali (Perkasa/Putra) katak, sekarang ini dah berpindah tiga kolam. Dari UMNO ke PKR, kemudian ikut BERSATU, sekarang lari ke PEJUANG pula.
Setiap orang mempunyai alasan untuk membuat sesuatu keputusan. Kita selalunya menilai dengan hanya melihat permukaan. Kita cuma melihat buruknya mereka yang meninggalkan parti, tetapi tidak mencari sisi lainnya. Kita keliru antara meninggalkan parti dan meninggalkan perjuangan.
Bagi saya, yang penting bagaimana pemimpin itu selepas berpindah rumah. Jika dia terus berkhidmat dengan baik, tidak ada sebab kenapa dia perlu dicerca. Yang jadi masalah, selepas tukar rumah dia sibuk dengan habuan yang dia dapat dan perlahan-lahan melupakan rakyat sehinggalah pilihan raya kembali dekat.
Ewon tidak begitu. Selepas menjadi sahabat Warisan dan berjawatan menteri pun, dia nampaknya masih Ewon yang dahulu. Aktif menjaga kawasannya.
Jamawi pun sama. Saya rasa semua orang Dun Kemabong tidak akan menafikan kerja kerasnya. Ada-ada sahaja program dan projek yang direncana serta dilaksanakannya. Pertanian, pendidikan, perhubungan, pelancongan. Kita perlu menjadi buta, mata dan hati, untuk tidak nampak apa yang dilakukannya.
Berbanding Ewon, yang berbaik dengan Warisan secara berjemaah, dan dengan itu risiko dicaci cerca lebih rendah, Jamawi terpaksa menghadapinya bersendirian di Kemabong. Tetapi ironinya, hasil ‘belek sana belek sini’ saya tidak nampak pun orang Kemabong yang memprotes tindakannya meninggalkan UMNO. Kalau ada pun, suara mereka terlalu perlahan untuk saya dengar.
Yang saya nampak dia masih diterima baik oleh rakyat di Dun yang diwakilinya. Sikapnya yang sangat responsif terhadap masalah rakyat – sehingga hampir semua komen dan aduan di Facebooknya – diberi perhatian dan dijawab, jelas menyenangkan mereka.
Semua orang tahu baru-baru ini, Jamawi meninggalkan Warisan untuk bersama kumpulan yang menyokong Tan Sri Musa Aman. Selepas misi Musa gagal dan Dewan dibubar, maka ramailah adun terkontang-kanting. Jamawi salah seorang.
Sekarang semua orang memerhati, ke parti mana mereka menghala. Kalau kembali ke parti asal, masihkah mereka dicalonkan? Begitu juga jika menyertai parti baharu.
Dan bagaimana dengan Jamawi? Ke manakah dia? Adalah satu kerugian bukan sahaja untuk dun Kemabong, tetapi juga untuk medan politik Sabah dan tanah air secara umumnya jika dia memilih untuk tidak mempertahankan kerusi itu. Tidak susah hendak mencari anak muda, atau orang tua, yang mahukan jawatan, yang susah adalah mencari yang benar-benar memanfaatkan jawatannya untuk berkhidmat.
Saya tidak mempunyai maklumat sama ada Jamawi memohon untuk kembali ke pangkuan UMNO atau tidak. Kalau ada, bagaimana reaksi UMNO? Itu pun saya tak tahu. Yang saya tahu, sebagai pemerhati kecil, saya merasakan UMNO/BN tidak patut membiarkan pemimpin muda itu dicilok oleh pihak lain. Paling tidak berikan laluan supaya dia menjadi calon Bebas yang mesra UMNO/BN. Bagi sokongan. Gabungan kemampuannya sendiri dengan bisa UMNO yang masih ada akan memastikan dun Kemabong tidak terlepas ke tangan lawan.
Bukan Jamawi sahaja, mana-mana calon yang berpotensi menang sepatutnya UMNO/BN atau rakan-rakan lain dalam PN jadikan kawan. Dalam peperangan, garang dan sombong bukanlah jaminan kepada kemenangan. Ada ketikanya kita perlu merendah demi memastikan pasukan tidak kalah!
Oleh: Tulus Budiman