KOTA KINABALU: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah pada tahun lepas mencatatkan peningkatan 3.7 peratus dengan nilai ditambah RM81.9 bilion berbanding RM79 bilion pada tahun sebelumnya, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata pertumbuhan positif berkenaan didorong peningkatan ketara dalam sektor perkhidmatan yang merupakan penyumbang utama kepada KDNK Sabah iaitu sebanyak 49.5 peratus dengan nilai ditambah sebanyak RM40.6 bilion.
Beliau berkata pertumbuhan sektor perkhidmatan 8.6 peratus dipacu peningkatan prestasi subsektor utama iaitu subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan, diikuti sektor perkhidmatan kerajaan dan sektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan serta maklumat dan komunikasi.
“Meskipun menjadi penyumbang kedua terbesar kepada keseluruhan KDNK Sabah, iaitu sebanyak 24.8 peratus dengan nilai ditambah sebanyak RM20.3 bilion, sektor perlombongan dan pengkuarian menunjukkan penurunan pertumbuhan 1.3 peratus pada tahun 2022, berbanding 3.2 peratus tahun sebelumnya.
“Penguncupan sektor ini dipengaruhi penyusutan subsektor utamanya iaitu minyak mentah dan kondesat kepada 4.4 peratus dan subsektor gas asli 8.4 peratus,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Hassan A Gani Pg Amir (GRS-Sebatik) berkenaan apakah bidang industri menyumbang kepada pendapatan Sabah.
Abidin berkata sektor pertanian Sabah pula mencatatkan nilai ditambah berjumlah RM12.5 bilion pada tahun 2022, iaitu merosot sebanyak 0.2 peratus.
“Bagaimanapun, pertumbuhan sektor ini lebih baik daripada penyusutan 2.2 peratus seperti yang direkodkan tahun sebelumnya. Sektor pertanian merupakan sektor ketiga terbesar di Sabah dengan sumbangan sebanyak 15.2 peratus kepada keseluruhan KDNK Sabah.”
Beliau berkata subsektor tanaman kelapa sawit mendominasi sektor pertanian di Sabah dengan sumbangan sebanyak 9.6 peratus daripada keseluruhan KDNK Sabah, diikuti subsektor perikanan (2.5 peratus), tanaman-tanaman lain (1.3 peratus) dan ternakan (1.0 peratus).
Menurutnya, sektor pembuatan pula merekodkan pertumbuhan negatif 2.5 peratus dengan penurunan dalam nilai ditambah kepada RM5.8 bilion berbanding RM5.9 bilion pada tahun sebelumnya.
“Penyusutan dalam sektor ini adalah disebabkan oleh penguncupan dalam subsektor minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan, prosesan makanan, minuman dan produk tembakau serta subsektor produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan,” katanya.
Beliau berkata sektor pembinaan pula bertumbuh pada kadar 6.2 peratus berbanding 7.9 peratus pada tahun sebelumnya dan sektor ini mencatatkan peningkatan kepada RM2.5 bilion berbanding RM2.4 bilion pada tahun 2021.
“Pertumbuhan ini disokong oleh prestasi yang konsisten dalam subsektor pembinaan pembangunan, kejuruteraan awam dan aktiviti pembinaan pertukangan khas,” kata Abidin.- BERNAMA