TENOM: Kementerian Dalam Negeri akan terus mempergiat usaha memberi penjelasan berhubung isu berkaitan kewarganegaraan termasuk kepentingan memohon dokumen pengenalan diri khususnya dalam kalangan rakyat di Sabah.
Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata langkah itu penting bagi memastikan semua rakyat khususnya di luar bandar Sabah dimaklumkan dengan baik mengenai kaedah permohonan dokumen pengenalan diri dan kelayakan memohon kewarganegaraan mengikut undang-undang.
Beliau berkata masih terdapat rakyat di negara ini yang tidak memahami kepentingan mendaftarkan sehingga menyebabkan kesukaran kepada anak-anak memperoleh taraf kewarganegaraan.
“Semuanya berlaku kerana kurangnya pemahaman terhadap undang-undang negara.
“Penjelasan yang jelas (mengenai isu) diperlukan supaya tiada isu politik timbul pada masa hadapan apabila permintaan pihak tertentu tidak dapat dipenuhi,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri program di Kemabong di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Hamzah menyeru orang ramai untuk mengambil bahagian dalam program Kita Demi Negara yang bertujuan menjaga keamanan dan kemakmuran negara.
Pada majlis itu, Hamzah turut menyampaikan kad pengenalan kepada empat kanak-kanak berusia 12 tahun dan menyaksikan penyerahan dokumen permohonan kerakyatan penduduk Kemabong kepada pegawai Jabatan Pendaftaran Negara.
Terdahulu, beliau melawat tapak pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Pagalungan, dekat Pensiangan.
Hamzah berkata kompleks CIQS itu akan memudahkan masyarakat luar bandar mendapatkan perkhidmatan daripada beberapa jabatan kerajaan termasuk memohon dokumen pengenalan diri.
“Penduduk boleh mendaftar kelahiran anak mereka di balai polis. Ini bagi memastikan kelahiran setiap anak direkodkan,” katanya. – Bernama