RANAU: Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Dr. Joachim Gunsalam merasmikan pembukaan cawangan baharu Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) di Dewan Kampung Tudan, di sini, pada Ahad.
Dr. Joachim yang juga Pengerusi Penyelaras KDCA Ranau berkata, legasi pembukaan cawangan KDCA dalam kawasan Kundasang dan daerah Ranau akan diteruskan dari masa ke semasa.
KDCA mempunyai lebih dari 500 cawangan berdaftar di 4 Zon Pentadbiran dan 24 pentadbiran daerah di seluruh Sabah termasuk Labuan.
“Tujuan pembukaan cawangan baharu di sini (Kg. Tudan) ialah untuk mewujudkan komuniti Kadazandusun yang maju dari segi sosio-budaya dan ekonomi; hidup bermegah dengan warisan budaya, selaras dengan visi KDCA,” katanya.
“Kalau bukan kita sendiri membantu orang-orang kita, siapa lagi? kita tidak boleh terlalu mengharapkan orang lain untuk membantu kita,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi KDCA Kg. Tudan, Wilfred Francis menghargai usaha KDCA dan mengucapkan terima kasih diatas pembukaan cawangan baharu ini dan berharap agar penduduk kampung akan terus mendapat manfaat daripadanya.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Setiausaha Politik kepada Dr. Joachim, Yubidi Gumpoyo; Wakil Anak Negeri (WAN), Ketua Kampung Tudan, semua ahli jawatankuasa (AJK) Penyelaras KDCA Ranau dan juga AJK pelaksana pembukaan cawangan KDCA Kg. Tudan.