KD Rencong Bakal Perkukuh Kawalan Keselamatan Perairan Sabah

hishammuddin.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kapal pesisir pantai (LMS) Rencong yang bakal ditauliahkan pada 28 Januari ini akan membantu meningkatkan lagi kawalan keselamatan di perairan Sabah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, LMS 4 ini merupakan Kapal Diraja (KD) Keris, KD Sundang dan KD Badik yang ditauliahkan antara 6 Januari 2020, 5 Mac dan 22 Oktober tahun lalu.

Beliau berkata, LMS Rencong ini tiba di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Sepanggar pada 28 Disember tahun lalu. Penyerahan fizikal Rencong dilaksanakan pada 18 Disember di Qidong, China.

Katanya, TLDM kini boleh melaksanakan sepenuhnya perancangan mereka menerusi LMS ini khususnya di bawah Program Transformasi 15 to 5 bagi mengukuhkan lagi kawalan keselamatan di perairan negara.

“LMS ini adalah salah sebuah daripada lima kelas kapal dalam Program Transformasi Armada 15 to 5,” katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja ke Markas Divisyen Kelima Infantri Kem Lok Kawi, semalam.

Beliau berkata, menerusi keupayaan LMS ini, rondaan di perairan Sabah dapat dipertingkatkan bagi menangani kegiatan jenayah rentas sempadan seperti kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui jalan laut serta menangani aktiviti pelanunan.

Tambah beliau, beberapa lagi perancangan khusus demi keselamatan Sabah akan dilakukan dari masa ke semasa.

Mengulas lanjut katanya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bekerjasama rapat dengan agensi negeri menerusi Operasi Murni (Op Murni) bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir sekali lagi.

Hishammuddin berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu pemalsuan sijil vaksinasi Covid-19.

“Pihak berkuasa telah mengambil tindakan dan siasatan mesti diteruskan. Ketamakan mereka untuk mendapatkan keuntungan hingga sanggup mengambil kesempatan ketika musibah melanda dunia.

“Maka, perkara ini akan ditangani segera bagi mengambil tindakan terhadap mereka. Tindakan demi meraih keuntungan ini boleh menjejaskan mereka yang tidak berdosa khususnya dengan kewujudan varian baharu,” katanya.

Hadir sama ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Panglima 5 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top