KOTA KINABALU: Karnival Baurung-Urung (KBU) dan Ekspo Halal Sabah adalah inisiatif yang dapat menjana ekonomi golongan usahawan di negeri ini.
Karnival yang dianjurkan Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) bersama agensi-agensi kerajaan negeri itu memberi kesempatan kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk mereka.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Arif berkata, program seumpama ini memberi peluang kepada semua usahawan tanpa mengira kaum dan agama untuk berniaga.
Katanya, sebanyak 200 tapak disediakan dalam karnival itu untuk usahawan tempatan memasarkan produk mereka selama dua hari.
“Kita mendapat maklum balas daripada usahawan tempatan yang terlibat dalam karnival ini dan rata-rata mereka berpuas hati kerana kehadiran orang ramai membeli produk yang dijual.
“PMBS akan meneruskan usaha-usaha seumpama ini dalam meningkatkan sumber pendapatan usahawan tempatan khususnya masyarakat Brunei di negeri ini,” katanya.
Beliau yang juga Presiden PMBS berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Penutupan Karnival itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.
Dalam pada itu, Mohd Arifin berkata, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) telah menandatangani perjanjian (MoU) dengan syarikat Saha yang merupakan pengeksport ayam halal di Thailand.
“MoU itu adalah usahasama dalam industri makanan halal kedua-dua negara dan syarikat Saha turut menyertai pameran produk halal dalam karnival ini.
“Selain itu, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) juga memberikan penerangan berkaitan makanan halal,” katanya.
Terdahulu, PMBS turut mengadakan pameran peralatan serta beberapa pertandingan seperti gambus, masakan, manumpah ambuyat dan cacah ternyaman untuk diikuti oleh masyarakat Brunei di sini. – Utusan Borneo