KBSS Sumbang 160 ‘Pek Hero’ Kepada PPV IPT-UMS

KKBS-pek-hero.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) menyumbangkan sebanyak 160 set ‘Pek Hero’ kepada petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi Universiti Malaysia Sabah (PPV IPT-UMS).

Sumbangan disampaikan sendiri Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Andi Muhammad Suryady Bandy kepada Naib Canselor UMS Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin.

Andi berkata, sumbngan itu merupakan salah satu program yang dilaksanakan KBSS sebagai tanda penghargaan dan usaha menyantuni petugas barisan hadapan.

“Sumbangan ini adalah sebagai tanda penghargaan kami di KBSS kepada semua petugas barisan hadapan di UMS yang bertungkus lumus memastikan proses pemberian vaksinasi berjalan lancar sejak hari pertama PPV ini dibuka,” katanya selepas mengadakan lawatan ke PPV IPT-UMS kelmarin.

Katanya, orang ramai khususnya di Sabah diseru untuk segera mendaftar sebagai penerima vaksin melalui saluran yang disediakan termasuk aplikasi MySejahtera.

Menurutnya, sasaran imuniti kelompok akan lebih mudah dicapai sekiranya proses pemberian vaksin mendapat kerjasama dari semua pihak.

“Justeru, saya juga mengharapkan komitmen dari kerajaan Persekutuan agar bekalan vaksin untuk negeri Sabah dipercepatkan agar tidak berlaku penangguhan pemberian vaksin seperti sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, pada lawatan tersebut, beliau turut diberikan taklimat oleh Pengarah Hospital UMS, Profesor Dr. Helen Lasimbang mengenai proses dan jumlah pemberian vaksin di PPV IPT-UMS sejak pusat itu mula beroperasi pada 14 Jun 2021.

Sehingga kini PPV IPT-UMS mencatat kumulatif pemberian sebanyak 24, 171 dos dengan jumlah agihan 3,000 vaksin sehari.

Turut hadir pada lawatan itu, Timbalan Setiausaha KBSS, William Ahlan dan Ketua Pusat Kesihatan UMS merangkap Penyelaras PPV IPT UMS, Dr. Muhammad Syafiq Abdullah. – Sabah Media


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top