TAWAU: Kerajaan negeri pada dasarnya bersetuju untuk pembesaran Zon Industri Akuakultur (ZIA) bagi penanaman rumpai laut di Burst-Point di perairan pulau Sebatik di sini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata langkah menyediakan kawasan yang lebih luas untuk penanaman rumpai laut itu akan membantu meningkatkan taraf hidup penduduk di pulau itu.
Ketua Menteri yang dalam rangka lawatan kerja ke pulau itu pada Selasa, diberi taklimat oleh Timbalan Pengarah Perikanan Negeri Azhar Kassim bahawa Tawau merupakan pengeluar rumpai laut kedua terbesar di negeri ini selepas daerah Semporna.
Burst-Point, yang menghadap Nunukan di Kalimantan, Indonesia, didapati paling sesuai untuk penanaman rumpai laut gred tinggi dan pada masa ini, kira-kira 1,215 hektar telah diusahakan melalui penglibatan 57 usahawan tempatan.
Sebanyak 314 tan metrik rumpai laut mengumpul jualan kasar RM2.4 juta telah dituai dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, katanya
Ketua Menteri yang turut diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong dan Peguam Negara Datuk Nor Asiah Mohd Yusof antara lain turut diberi taklimat mengenai sempadan maritim Malaysia-Indonesia dekat sini hari ini.
Turut mengiringi beliau ialah Komander Kawasan Keselamatan Timur Sabah, DCP Haji Hamzah Ahmad, Pengarah Majlis Keselamatan Negara Sabah, Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Jauteh Dikun.
Hajiji juga melawat pos keselamatan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Burs Point, Wallace Bay dan Sungai Melayu di mana beliau diberi taklimat mengenai isu keselamatan di sempadan Malaysia-Indonesia.